Ismail ikrar junjung amanah, kepercayaan rakyat laksana pentadbiran adil dan tulus

Ismail Lasim ketika mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu hari ini. - Foto: Bernama
Ismail Lasim ketika mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA PILAH - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berikrar menjunjung amanah dan kepercayaan rakyat dengan melaksanakan tanggungjawab pentadbiran secara adil, telus dan berkesan demi kesejahteraan serta kemajuan negeri.

Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 semalam, merupakan amanah besar yang diterima dengan penuh rendah diri dan kesyukuran.

"Kepercayaan rakyat bukanlah sekadar suatu penghormatan sebaliknya tuntutan untuk membuktikan bahawa kerajaan yang diberi mandat akan bekerja dengan bersungguh-sungguh, mendengar denyut nadi rakyat serta melaksanakan tanggungjawab secara adil, telus dan berkesan.

"Patik memberi jaminan bahawa amanah serta kepercayaan diberikan akan sentiasa dipelihara dan dijunjung sebaik mungkin. Patik bersama seluruh barisan kepimpinan kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi kerajaan yang mendengar, berkhidmat dan bekerja demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan taat setia pada istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar baharu di hadapan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.

Ismail turut berikrar akan menjunjung kedaulatan Yang Dipertuan Besar, memelihara kemuliaan institusi diraja serta mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

"Patik juga akan sentiasa menjunjung titah, nasihat, pandangan serta tunjuk ajar Tuanku dalam melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab pentadbiran kerajaan negeri, selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen,” katanya.

Beliau berkata, Negeri Sembilan mempunyai sejarah, warisan dan sistem adat yang istimewa, justeru, keunikan Adat Perpatih yang berteraskan nilai muafakat, keadilan, kebersamaan dan kebijaksanaan perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.

Sehubungan dengan itu, beliau akan memastikan dasar dan tindakan kerajaan negeri sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat, berteraskan keadilan, dipandu prinsip integriti serta dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata pembangunan negeri akan diteruskan secara mampan, menyeluruh dan inklusif supaya kemajuan dapat dinikmati seluruh rakyat sama ada di bandar mahupun luar bandar.

"Pada masa sama, kerajaan negeri akan terus memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan berkualiti, menyediakan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkasa bidang pendidikan, kesihatan, perumahan, pertanian dan kesejahteraan sosial,” katanya.

Beliau berkata ukuran kemajuan sebenar bukan hanya berdasarkan pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya merangkumi kesejahteraan rakyat, keharmonian masyarakat, keutuhan institusi serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan sistem pentadbiran.

Dalam usaha memastikan pentadbiran berjalan lancar, Ismail berjanji akan mengutamakan prinsip amanah, integriti, kecekapan dan ketelusan serta memastikan jentera kerajaan negeri terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan rasa tanggungjawab.

Beliau turut menekankan kepentingan semangat muafakat dan kebersamaan dengan sentiasa mendengar pandangan serta menerima teguran membina demi kepentingan jangka panjang negeri dan kesejahteraan generasi akan datang.

Selain itu, beliau berikrar memperkukuh hubungan erat dan harmoni antara institusi Diraja, kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, penjawat awam, sektor swasta, pemimpin masyarakat serta seluruh lapisan rakyat.

Ismail turut memohon pandangan, nasihat dan tunjuk ajar Tuanku Muhriz dalam melaksanakan amanah pentadbiran serta memohon doa rakyat agar dikurniakan kekuatan, kesabaran dan kebijaksanaan.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih terhadap bekas Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun atas jasa, sumbangan, kepimpinan dan khidmat bakti sepanjang menerajui kerajaan negeri dengan segala usaha dan sumbangannya dalam memacu pembangunan negeri akan sentiasa dikenang.

"Segala pengalaman dan asas pembangunan yang telah dibina akan menjadi landasan serta kesinambungan yang berharga dalam usaha meneruskan kemajuan dan kemakmuran Negeri Sembilan,” katanya.

 

 

:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!