Polis kesan dua individu termasuk pelajar terlibat pergaduhan

Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua individu termasuk seorang pelajar sekolah selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial baru-baru ini. - Gambar hiasan
Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua individu termasuk seorang pelajar sekolah selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial baru-baru ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KLANG – Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua individu termasuk seorang pelajar sekolah selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video yang memaparkan aksi dua lelaki bergaduh di tempat awam sambil disaksikan sekumpulan lelaki.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada jam lebih kurang 1.20 tengah hari, 31 Julai lalu di kawasan parkir Kompleks Sukan Pandamaran, Klang.

"Siasatan mendapati salah seorang lelaki yang terlibat dalam pergaduhan itu merupakan pelajar sekolah berusia 16 tahun manakala seorang lagi lelaki masih belum dikenal pasti.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang mengesan semua individu yang terlibat dalam pergaduhan ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

"Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Tambahnya, sebarang maklumat lanjut juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Baaz Mohd Zohari di talian 016-4117885, Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!