Nathan Thomas profesor sambilan termuda dunia

Thomas
Thomas
A
A
A

KETIKA kebanyakan pelajar seusianya masih menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, Nathan Thomas sudah berdiri di hadapan kelas sebagai tenaga pengajar universiti.

Thomas mencipta sejarah dunia apabila dilantik sebagai profesor termuda lelaki dunia pada usia 18 tahun 346 hari selepas kembali ke Kolej Miami Dade sebagai profesor sambilan kejuruteraan pada Ogos 2023.

Pelantikan itu menyaksikan beliau memecahkan rekod yang bertahan selama 306 tahun yang sebelum ini dipegang ahli matematik Scotland, Colin Maclaurin (1698-1746), yang menjadi profesor pada usia 19 tahun.

Menariknya, ketika memasuki kelas pengajian kejuruteraan, sebahagian besar pelajarnya terdiri daripada golongan remaja yang hampir sebaya dengannya.

Namun, keadaan itu tidak menghalang Thomas yang kini menginjak usia 21 tahun mengendalikan kelas dan membimbing pelajar memahami topik pengkomputeran serta pengaturcaraan yang pernah dipelajarinya sebelum itu.

“Saya hanya memberi tumpuan untuk menjalankan tugas dengan baik dan membantu pelajar dalam apa cara yang boleh,” katanya kepada Guinness World Records baru-baru ini.

Miami Dade College tempat Thomas mengajar.
Miami Dade College tempat Thomas mengajar.

Belajar di kolej sejak usia 10 tahun

Artikel Berkaitan:

Thomas bukan sekadar memiliki pencapaian luar biasa, malah mempunyai latar belakang akademik yang membuktikan kelayakannya sebagai tenaga pengajar.

Beliau mula mengikuti pengajian berkembar di Kolej Miami Dade ketika berusia 10 tahun sebelum berpindah ke Universiti Antarabangsa Florida pada usia 14 tahun.

Sebelum mencapai usia 19 tahun, Thomas sudah memperoleh ijazah sarjana muda dan sarjana dalam kejuruteraan elektrik dengan kepujian.

Minatnya terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berkembang sejak kecil, terutama kerana pengaruh ibu bapanya yang merupakan jurutera.

Beliau berkata, ibunya turut memainkan peranan penting dalam membentuk cara fikirnya.

“Dia mempunyai cara menjadikan perkara yang rumit kelihatan mudah, dan saya rasa pendekatan itu banyak mempengaruhi saya tanpa saya sedari ketika itu,” katanya.

Beliau turut aktif dalam sukan.
Beliau turut aktif dalam sukan.

Mahu pelajar memahami ilmu

Bagi Thomas, pengalaman mengajar memberikan kepuasan tersendiri apabila melihat pelajar berjaya memahami sesuatu konsep yang pada awalnya dianggap sukar.

Katanya, mengajar juga membantunya memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam kerana seseorang perlu benar-benar menguasai sesuatu ilmu sebelum mampu menerangkannya kepada orang lain.

“Bahagian mengajar yang paling saya sukai ialah melihat sesuatu konsep yang sebelum ini kelihatan mustahil tiba-tiba difahami oleh pelajar.

“Ia memberikan kepuasan berbeza kerana seolah-olah saya dapat merasai semula pengalaman mereka ketika mula memahami sesuatu perkara,” katanya.

Thomas semasa menghadiri satu persidangan akademik pada 2018.
Thomas semasa menghadiri satu persidangan akademik pada 2018.

Sambung pengajian

Walaupun sudah mencipta rekod dunia, Thomas masih meneruskan perjalanan akademiknya.

Beliau kini mengikuti pengajian Ijazah Doktor Juris dari Sekolah Undang-Undang Universiti Miami dan dijangka menamatkan pengajian pada 2028.

Thomas merancang menceburi bidang undang-undang harta intelek dengan memberi tumpuan kepada bidang STEM.

Genius yang tetap remaja biasa

Di sebalik pencapaian luar biasa, Thomas tetap menjalani kehidupan seperti anak muda lain.

Beliau gemar bermain bola keranjang, tenis dan golf selain menyokong pasukan Boston Celtics serta New England Patriots.

Thomas juga bermain piano klasik, namun lebih gemar mendengar muzik artis seperti Drake serta muzik elektronik ketika berehat.-Agensi

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!