F1 GP Bahrain di Sepang dijangka limpahkan ekonomi negara

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU – Penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober dijangka memberi limpahan ekonomi, terutama kepada sektor pelancongan dan perkhidmatan negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, keputusan Bahrain memilih Malaysia sebagai tuan rumah pengganti bakal melonjakkan kemasukan pelancong, sejajar dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurutnya, perbincangan akan diadakan minggu depan bersama wakil kerajaan Bahrain, Bahrain Tourism, Gulf Air dan penganjur GP Bahrain.

"Kita menjangkakan limpahan ekonomi memandangkan tempahan hotel, penginapan, bas pelancongan dan produk makanan sudah mula diterima.

"Maklumat awal yang diterima menunjukkan banyak hotel di Sepang, Putrajaya dan Kuala Lumpur sudah ditempah. Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga meminta supaya diadakan satu karnival sempena penganjuran F1 ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 Johor di Paradigm Mall, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, perlumbaan F1 itu juga dijangka menarik kehadiran ramai pelancong dari Singapura, Thailand dan Indonesia.

Justeru, katanya, penganjuran F1 di Singapura pada minggu berikutnya turut memberi limpahan ekonomi kepada Johor.

"Setiap tahun, sektor pelancongan negeri ini menerima tempahan penginapan, makanan dan pelbagai perkhidmatan lain sempena F1 di Singapura.

"Menariknya, pelancong juga akan mengambil kesempatan untuk melancong ke lokasi-lokasi menarik di Johor selepas tamat perlumbaan F1 Singapura," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tourism Malaysia juga bekerjasama dengan Singapore Tourism Board bagi mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan di Johor sepanjang penganjuran F1 Singapura.

Grand Prix Bahrain sepatutnya berlangsung pada April lalu, namun ditangguhkan pada Mac bersama Grand Prix Arab Saudi susulan perang di Iran.

Sepang pernah menjadi antara venue perlumbaan F1 yang popular sebelum digugurkan daripada kalendar F1 selepas edisi 2017.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!