Jet pejuang halimunan F-35B AS terhempas ketika mendarat

SAN DIEGO – Sebuah pesawat pejuang halimunan F-35B Lightning II milik Kor Marin Amerika Syarikat (AS) terhempas berhampiran landasan di Pangkalan Udara Kor Marin Miramar, California pada Jumaat, ketika cuba melakukan pendaratan.
Menurut kenyataan Kor Marin AS, juruterbang yang merupakan satu-satunya individu di dalam pesawat berjaya keluar menggunakan kerusi anjal beberapa saat sebelum pesawat itu terhempas.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dengan kecederaan ringan yang tidak mengancam nyawa.
Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan kepulan asap hitam tebal menjulang dari kawasan nahas di sebuah tanah lapang, manakala anggota bomba dan pasukan tentera bergegas memadamkan kebakaran.
Kebakaran di lokasi nahas turut merebak ke kawasan semak berhampiran sebelum berjaya dikawal.
Menurut maklumat yang diperoleh ABC News, pesawat itu sedang menghampiri landasan sekitar jam 10 pagi waktu tempatan sebelum terhempas beberapa meter dari kawasan lapangan terbang.
Punca nahas masih dalam siasatan, namun laporan awal menyatakan pesawat berkemungkinan sedang menjalani penerbangan latihan, yang lazim dilakukan setiap hari di pangkalan berkenaan.
Kor Marin mengklasifikasikan insiden itu sebagai 'Class A Mishap', iaitu kategori kemalangan paling serius dalam ketenteraan AS yang melibatkan kerosakan melebihi AS$2 juta (kira-kira RM8.1 juta), kemusnahan pesawat atau kematian anggota.
F-35B merupakan varian pesawat pejuang generasi kelima yang mempunyai keupayaan berlepas dalam jarak pendek dan mendarat secara menegak (STOVL), sekali gus membolehkannya beroperasi di kapal serangan amfibia serta pangkalan dengan landasan terhad.
Setiap unit F-35B dianggarkan bernilai sekitar AS$109 juta (kira-kira RM445 juta).
Menurut analisis Government Accountability Office (GAO) pada 2024, tentera AS kini mengoperasikan lebih 630 pesawat F-35 membabitkan Kor Marin, Tentera Laut dan Tentera Udara, manakala keseluruhan program F-35 dianggarkan menelan kos hampir AS$2 trilion (kira-kira RM8.1 trilion).
Data Air Force Safety Center menunjukkan sekurang-kurangnya 17 kemalangan Kelas A membabitkan pesawat F-35 pernah direkodkan sejak program itu diperkenalkan, manakala pangkalan data Aviation Safety Network melaporkan sekurang-kurangnya tujuh kemalangan pesawat tentera berlaku di AS sepanjang tahun.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

