Wanita bertahan guna kaki setengah jam elak terjatuh dasar perigi

PASIR MAS – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam 5.49 meter di rumahnya di Kampung Batal, Chicha Tinggi, di sini pada Sabtu.
Mangsa, Sarini Md Yusuf, 56, berjaya bertahan kira-kira 30 minit dengan kedua-dua kakinya bersandar pada binaan pembentung perigi, sekali gus membolehkannya terus berada di atas paras air sehingga bantuan tiba.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan I Asraf Mat Naizi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 pagi sebelum sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan pacuan empat roda Triton bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi.
Menurut beliau, pasukan bomba tiba enam minit kemudian dan mendapati wanita terbabit masih berada di dalam perigi.
"Operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas termasuk sistem tali bagi mengeluarkan mangsa dengan selamat.
"Mangsa berjaya dibawa keluar dalam keadaan sedar dan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.37 pagi dan tamat pada jam 9.05 pagi.
Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan. Ketika kejadian, wanita terbabit dipercayai terjatuh ke dalam perigi yang terletak di dalam rumahnya.
Asraf berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

