Gelombang xenofobia landa Afrika Selatan

JOHANNESBURG – Gelombang keganasan antiimigran yang semakin memuncak di Afrika Selatan mendorong negara itu menggesa penganjuran satu persidangan khas bagi membincangkan isu migrasi dan merangka penyelesaian bersama terhadap krisis berkenaan.
Kementerian Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan memaklumkan persidangan di bawah naungan Kesatuan Afrika (AU) itu dicadangkan susulan beberapa minggu insiden keganasan yang meragut nyawa serta ketegangan berhubung kehadiran pekerja asing tanpa dokumen di negara berkenaan.
Menurut kementerian itu, sidang tersebut akan menghidupkan semula keputusan AU yang dipersetujui sedekad lalu untuk menangani migrasi sebagai isu berkaitan pembangunan ekonomi, integrasi serantau, keamanan dan tadbir urus.
Selain itu, persidangan berkenaan dijangka meneliti punca peningkatan sentimen antiimigran serta merangka pendekatan menyeluruh bagi membendung xenofobia, diskriminasi dan keganasan terhadap pendatang di seluruh rantau tersebut.
"Keperluan untuk dialog ini semakin mendesak kerana migrasi merupakan fenomena yang melibatkan seluruh Afrika dan kesannya melangkaui bidang kuasa sesebuah negara," menurut kenyataan kementerian.

Sebagai ekonomi terbesar di rantau itu, Afrika Selatan sejak sekian lama menjadi destinasi utama migran yang mencari peluang pekerjaan dan kehidupan lebih baik.
Namun, Johannesburg berdepan gelombang keganasan antiimigran yang berulang sejak hampir dua dekad lalu dengan protes semakin memuncak tahun ini selepas beberapa kumpulan bertindak sendiri memaksa warga asing tanpa dokumen meninggalkan negara itu pada 30 Jun lalu.

Berdasarkan rekod AFP yang disusun daripada data beberapa negara Afrika yang membawa pulang rakyat masing-masing, lebih 176,000 pendatang telah meninggalkan Afrika Selatan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
Pihak berkuasa Afrika Selatan mengesahkan sekurang-kurangnya empat migran terbunuh dalam insiden keganasan tersebut, namun beberapa kerajaan asing percaya jumlah korban sebenar adalah jauh lebih tinggi.

Susulan krisis itu, Ghana menggesa isu keganasan antiimigran dibahaskan pada Sidang Kemuncak AU awal tahun depan manakala Nigeria turut mendesak supaya perkara tersebut dimasukkan dalam agenda rasmi blok berkenaan selepas beberapa kali berdepan ketegangan diplomatik dengan Pretoria susulan serangan terhadap rakyatnya.
Bagaimanapun, Afrika Selatan memaklumkan Majlis Eksekutif AU yang bermesyuarat di Ethiopia pada minggu ini memutuskan untuk tidak memasukkan isu migrasi dalam agenda mesyuarat semakan pertengahan penggal yang dijadual berlangsung di Mesir pada Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

