'12 jam baru sampai Terengganu, kami bawa motor santai-santai' - Peserta RXZ Members 8.0

KUALA TERENGGANU - Sebilangan peserta perhimpunan RXZ Members 8.0 membuktikan bahawa sikap mengutamakan keselamatan dan menunggang motosikal secara berhemah tidak merugikan malah mereka sanggup mengambil masa sehingga 12 jam untuk tiba di negeri ini.
Peserta dari Kampung Jawa, Shah Alam, Muhammad Hafizi Abdul Aziz, 35, berkata, dia bersama seramai 10 rakan memilih untuk menunggang secara santai dari Lembah Klang demi memastikan kelancaran dan keselamatan perjalanan.
Menurutnya, mereka berkumpul di Petronas Sungai Buloh seawal jam 11.30 pagi selepas menunggu rakan dari Perak yang bertolak sejak jam 9 pagi sebelum memulakan perjalanan ke Terengganu pada Khamis.
"Saya mula sertai 'event' ni tahun lepas, tapi tahun ini suasana rasanya lebih meriah. Kami bergerak secara santai dengan kelajuan sekitar 100 hingga 130 kilometer sejam (km/j) sahaja, sebab itu agak lambat sampai.
"Lagipun, ada motosikal yang rosak sepanjang perjalanan dan perlu diangkut menggunakan Hilux. Kami juga berhenti agak lama di Temerloh untuk makan dan baiki motosikal," katanya ketika ditemui di rumah inap yang didiami di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai keadaan trafik, Muhammad Hafizi memberitahu kesesakan lalu lintas mula dirasai seawal stesen minyak di Temerloh, manakala kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing mencatatkan kesesakan paling teruk.
Katanya, dia dan rakan-rakan selamat tiba di Kuala Terengganu kira-kira jam 10 malam dan menginap di sebuah inap desa yang telah ditempah sejak dua bulan lalu.
"Ini baru edisi kedua saya hadir, tapi ada rakan yang sudah masuk edisi ketiga. Buat masa ini kami belum pusing-pusing lagi sebab baru sampai," katanya.
Sebelum ini, slogan rasmi perhimpunan RXZ Members 8.0 yang sebelum ini membawa mesej 'Yang Kental Pasti Sampai' kini ditukar kepada 'Yang Santai Pasti Sampai' sebagai usaha memastikan keselamatan peserta menjadi keutamaan serta mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang program berlangsung.
Penganjur RXZ Members 8.0, Mohamad Faizal Mat Ali, berkata perubahan slogan itu bukan sekadar pembaharuan, sebaliknya membawa mesej jelas kepada semua peserta supaya mengamalkan budaya tunggangan berhemah ketika dalam perjalanan ke lokasi program.
Katanya, penganjur menyasarkan sifar kemalangan maut sepanjang penganjuran yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula Jumaat di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

