Tumbang tiga ekor lembu, 8 kawah gulai rai peserta RXZ Members 8.0

HULU TERENGGANU – Mengambil keberkatan bersedekah pada hari Jumaat menjadi pendorong utama penganjuran program agihan makan gulai kawah percuma khas buat peserta himpunan RXZ Members 8.0 serta penduduk setempat.
Penyelaras program, Zaharudin Mohamad, 43, berkata, hasrat untuk mengadakan jamuan tersebut telah dirancang sejak tahun lalu, namun tidak sempat dilaksanakan berikutan kekangan masa.
"Perancangan sebenarnya bermula tahun lepas lagi, tetapi disebabkan tempoh masa yang singkat dalam dua minggu sahaja, jadi kita tidak sempat nak buat.
"Asalnya kita ingat nak buat secara kecil-kecilan dalam dua atau tiga orang sahaja. Tapi, selepas maklumat ni dikongsi, ramai pula yang tampil mahu memberi sumbangan dan menaja. Jadi, kita teruskan," katanya ketika ditemui di Dataran Ajil, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Zaharudin memberitahu, sebanyak tiga ekor lembu disembelih bagi memasak lapan kawah gulai daging dan sup tulang.
Ujarnya, pelaksanaan program itu mempamerkan sokongan masyarakat apabila menerima sumbangan dari seluruh daerah di Terengganu, merangkumi kawasan dari Kemaman hingga ke Besut.
Jelas beliau, proses memasak lapan kawah gulai berkenaan dijayakan dengan kerjasama penduduk kampung, belia kelab bola sepak tempatan serta Pengurusan Armada Jak.
"Proses memasak bermula seawal jam 2 pagi semalam untuk dua kawah pertama, manakala selebihnya dimasak selepas waktu Subuh hari ini.
"Secara keseluruhannya, lapan kawah ini dianggarkan mampu menyediakan hidangan untuk kira-kira 2,400 orang. Selain peserta RXZ Members 8.0 dan orang ramai sekitar, kita turut menjemput penduduk kampung untuk bersama-sama menikmati hidangan ini," katanya.
Tambah Zaharudin, jamuan makan bermula sekitar jam 9.30 pagi dan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung.
"Setakat ni, sebanyak lima kawah gulai telah habis dan hanya tinggal tiga kawah sup tulang, manakala pelbagai jenis kuih-muih yang disediakan pula licin dalam tempoh setengah jam sahaja.
"Kita jangkakan kesemua hidangan lauk ini akan habis sepenuhnya sebelum masuk waktu solat Jumaat hari ini," ujarnya.
Sementara itu, seorang peserta RXZ Members 8.0, Shahruddin Muhammed Yusoff, 42, dari Melaka berkata, mereka amat menghargai usaha itu dan menyifatkan rakyat Terengganu sebagai mesra tetamu.
"Saya gembira kerana diraikan sebegini dan berharap agar mereka yang sudi menyumbang makanan ini sentiasa dimurahkan rezeki dan mendapat keberkatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

