Op Crack dedah penglibatan 'orang dalam' - KP JIM

PUTRAJAYA - Penglibatan 'orang dalam' Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang mengetahui bagi mengeksploitasi Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dikenal pasti dipercayai terlibat dalam sindiket godam sistem terbabit berkaitan proses kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Ini susulan penahanan 12 individu termasuk enam pegawai JIM di mana dua merupakan Bahagian Teknologi Maklumat jabatan terbabit.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kegiatan ini tidak boleh berlaku sekiranya tidak melibatkan orang dalam dan itu merupakan asasnya.
"Kerana untuk menceroboh masuk sistem kita (JIM) memang tidak boleh kerana jabatan baru sahaja buat forensik dengan pihak CyberSecurity bagi menambah baik dari segi sistem keselamatan.
"Ia tidak boleh diceroboh masuk dari luar tapi dalam kes ini, dia melibatkan orang dalam dan orang dalam yang tahu berkaitan dengan sistem," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya di sini pada Jumaat.
Sidang media berkenaan kejayaan menumpaskan sindiket terbabit menerusi Op Crack turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.
Tambah Zakaria, dengan pencerobohan itu, individu terbabit menggunakan peranti 'dongle' serta perisian yang dimasukkkan ke dalam komputer.
Jelasnya, jadi disebabkan itu, sistem terbabit boleh diakses dari luar dengan menggunakan ID (nama pengguna) pentadbir untuk mendaftar masuk sebelum mencipta ID palsu bagi meluluskan semua PLKS secara tidak teratur.
"Jadi, itulah modus operandi sindiket," katanya.
Tegas Zakaria, JIM akan membatalkan semua 1,306 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan secara tidak sah terbabit serta-merta serta mengesan semua pemegang pas berkenaan yang dipercayai berada di pelbagai lokasi di seluruh negara serta berkerja dalam pelbagai sektor.
"Pertamanya tindakan kita ialah membatalkan semua PLKS yang diluluskan secara tidak teratur.
"Kita akan mengesan seterusnya di mana mereka berada. Buat masa ini mereka berada di merata tempat, namun kita tidak boleh dedahkan lokasi kerana bimbang mereka akan melarikan diri," ujarnya.
Dalam pada itu, Zakaria menegaskan JIM mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap salah laku, penyelewengan dan rasuah serta akan terus bekerjasama dengan SPRM bagi memastikan semua individu yang terbabit dibawa ke muka pengadilan.
"Sekiranya pegawai JIM didapati terbabit dalam rasuah atau penyelewengan, kita bukan sahaja menyerahkan siasatan kepada SPRM malah akan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa sendiri, termasuk mengikut Akta Pasport selepas siasatan selesai.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kegiatan itu sudah dikesan pihaknya sejak Mei lalu.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan Ops Crack bermula 28 Julai bertindak menahan dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM serta seorang pegawai polis.
Katanya, semua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan di Ibu Pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang.
Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi pas yang dikeluarkan hingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM2.4 juta.
Difahamkan, sindiket menggodam MyIMMs dipercayai membayar wang rasuah antara RM1,000 hingga RM6,000 kepada kepada pegawai JIM kerana dipercayai membantu dalam proses mendapatkan kelulusan PLKS tanpa mengikut prosedur yang sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
