Lantik pemimpin asing di pelabuhan perlu disokong pelan ganti bakat tempatan - Jayenderan

SHAH ALAM – Pelantikan eksekutif asing untuk menerajui pelabuhan di Malaysia perlu dibuat berasaskan keupayaan serta disokong dengan mekanisme tadbir urus yang kukuh, selain disertakan pelan penggantian yang jelas bagi membangunkan kepimpinan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, walaupun pelantikan pemimpin antarabangsa merupakan amalan lazim dalam industri maritim global, pelabuhan Malaysia mempunyai kedudukan strategik sebagai infrastruktur kritikal negara.
Katanya, ia juga memberi kesan langsung kepada perdagangan, rantaian bekalan serta daya saing ekonomi.
"Sebarang pelantikan warga asing perlu diseimbangkan dengan pengukuhan penyertaan rakyat Malaysia dalam lembaga pengarah, penetapan bidang kuasa yang jelas terhadap keputusan melibatkan aset strategik negara serta pemantauan berkala oleh pihak pengawal selia, " katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pelantikan bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World, Sultan Ahmed Bin Sulayem sebagai Pengerusi Eksekutif MMC Port Holdings Bhd susulan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Azman Shah Mohd Yusof.
Menurut Jeyenderan, pengendali pelabuhan dan terminal utama dunia lazimnya merekrut bakat antarabangsa kerana industri itu memerlukan kepakaran khusus.
Tambahnya, kepakaran khusus itu termasuk dalam bidang automasi terminal, pendigitalan, rangkaian perkapalan dan pembangunan pelabuhan.
"Namun, amalan antarabangsa semata-mata tidak seharusnya menjadi penentu pendekatan Malaysia.
"Pelabuhan bukan sekadar sebuah syarikat komersial, sebaliknya pintu masuk strategik perdagangan negara dan komponen penting dalam ekosistem logistik negara.
"Persoalan utama yang perlu dijawab ialah sama ada Malaysia mempunyai calon tempatan yang benar-benar berkelayakan sebelum mempertimbangkan calon dari luar negara," katanya.
Beliau yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam industri maritim berkata, eksekutif asing yang berpengalaman mampu mempercepatkan transformasi operasi menerusi penggunaan teknologi baharu, meningkatkan produktiviti, menarik lebih banyak syarikat perkapalan serta memperkukuh rangkaian komersial antarabangsa.
Bagaimanapun katanya, setiap pelantikan perlu dinilai berdasarkan petunjuk prestasi yang boleh diukur seperti peningkatan kecekapan operasi, jumlah pengendalian kargo, keupayaan menarik pelaburan serta pemindahan ilmu kepada tenaga kerja tempatan.
"Pelantikan itu mesti memberikan nilai tambah kepada Malaysia, bukan dibuat berdasarkan persepsi semata-mata.
"Kita mempunyai kumpulan profesional berpengalaman dalam sektor perkapalan, operasi pelabuhan, logistik, pematuhan kastam.
"Perkhidmatan maritim dalam kalangan kepakaran tempatan wajar diberi lebih banyak peluang untuk memegang jawatan pengurusan tertinggi," katanya.
Jeyenderan berkata, kepakaran antarabangsa sememangnya mampu memperkukuh industri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan daya saing jangka panjang negara bergantung kepada keupayaan melahirkan barisan pemimpin tempatan yang mampan untuk mengurus pelabuhan yang semakin kompleks.
Menurutnya, walaupun syarikat perlu diberikan fleksibiliti komersial dalam melantik pengurusan tertinggi, pelantikan membabitkan infrastruktur strategik negara juga perlu dinilai daripada aspek ketahanan nasional, standard tadbir urus, ketelusan operasi dan pembangunan bakat.
"Malaysia perlu terus terbuka menerima kepakaran global, namun setiap pelantikan mestilah memperkukuh ekosistem maritim negara dan pada masa sama membantu melahirkan generasi baharu pemimpin pelabuhan tempatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

