'SPRM, Kastam tubuh pasukan petugas khas pantau pelabuhan strategik legakan industri maritim' - Jeyenderan

Jeyenderan (gambar kecil) berkata, penubuhan pasukan petugas khas itu sememangnya dialu-alukan pemain industri maritim. Foto hiasan
Jeyenderan (gambar kecil) berkata, penubuhan pasukan petugas khas itu sememangnya dialu-alukan pemain industri maritim. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan penubuhan pasukan petugas khas antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) bagi memantau penguatkuasaan serta kutipan cukai di pelabuhan strategik seluruh negara, bakal menjadi satu anjakan penting bagi memperkukuh tadbir urus negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, langkah itu juga menerima reaksi positif daripada kalangan penggiat industri maritim yang melihatnya sebagai stratagi kerajaan untuk melindungi kedaulatan hasil negara.

Menurutnya, inisiatif berkenaan sememangnya dialu-alukan pemain industri maritim selama ini.

Jelasnya, ini kerana mereka menganggapnya sebagai bukti nyata komitmen kerajaan dalam menangani secara holistik isu penguatkuasaan kastam serta kelemahan prosedur yang selama ini menjadi punca kebimbangan pihak industri.

"Penubuhan pasukan petugas ini merupakan satu perkembangan positif.

"Saya berharap usaha ini akan menghasilkan prosedur yang lebih jelas, penguatkuasaan yang lebih berkesan, serta mewujudkan persaingan yang adil kepada semua pengendali sah dalam industri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, memaklumkan bahawa cadangan penubuhan pasukan petugas khas itu lahir hasil perbincangan dua hala antara SPRM dan Kastam.

Abd Halim berkata, ia penting bagi memperkukuh sinergi penguatkuasaan dan membendung ketirisan hasil yang dianggarkan menjejaskan pendapatan kerajaan secara signifikan.

Menurut beliau, pasukan petugas tersebut akan bertanggungjawab memantau secara menyeluruh aspek pematuhan, prosedur operasi standard (SOP) serta integriti pegawai yang terlibat dalam urusan kutipan cukai dan pelepasan barang di pelabuhan-pelabuhan utama tanah air.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua agensi juga dilaporkan telah bertukar pandangan terperinci mengenai prosedur sedia ada bagi memperkukuh mekanisme penguatkuasaan serta kutipan cukai.

Di samping itu, SPRM dan Kastam juga akan mengenal pasti ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Pasukan petugas khas itu dijangka mula beroperasi dalam masa terdekat dan akan melibatkan pegawai daripada pelbagai peringkat kedua-dua agensi, dengan sokongan penuh daripada Kementerian Kewangan serta agensi berkaitan yang lain.

Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan setiap ringgit hasil rakyat diurus dengan penuh amanah, telus, dan berintegriti tinggi, selain memperkasa daya saing sektor maritim negara di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut Jeyenderan berkata, keterbukaan pihak berkuasa dalam meneliti setiap kebimbangan yang disuarakan melalui saluran sah menunjukkan pendekatan bertanggungjawab dan profesional.

Selain itu, beliau turut percaya pendekatan itu sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur serta pengendali logistik terhadap sistem pengurusan pelabuhan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!