[VIDEO] ‘Tolong Doakan Abang’
IPOH - Lebih 14 tahun lalu, wajah seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun menghiasi muka hadapan akhbar ini dengan tajuk ‘Tolong Doakan Abang’.

Satu kisah yang bukan sahaja meruntun hati rakyat Malaysia malah menjadi titik perubahan hidup anak sulung daripada tiga beradik, Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy dan sekeluarga.
Ibunya, Zetty Ferdaus Ramli, 43, berkata, liputan bukan sekadar berita sebaliknya menjadi jambatan penghubung dengan ribuan insan tidak pernah dikenali yang menghulur bantuan, menitip doa dan memberi semangat ketika mereka berada di titik paling getir dalam hidup.

Menurutnya, tahun 2012 menjadi fasa paling sukar apabila Wan Arif Ferdaus disahkan menghidap kanser tulang tahap empat dan memerlukan rawatan segera termasuk pembedahan dalam tempoh dua minggu.
Pada saat itu, keluarga tersebut berdepan kekangan kewangan serius memandangkan kos rawatan mencecah RM80,000 dan perlu melalui proses panjang untuk mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi.
“Kami cuba mohon bantuan daripada NGO, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal dan lain-lain, semuanya ambil masa.
“Sampailah ada saudara kenalkan kepada seorang individu yang mencadangkan untuk adakan sidang media, dari situlah bermulanya kisah kami bersama akhbar ini,” katanya ketika menerima kunjungan Sinar Harian sempena ulang tahun ke-20 akhbar ini.
Kisah yang menghiasi muka hadapan edisi Perak pada 4 April 2012 itu bukan sahaja mendapat perhatian rakyat negara ini malah dari Brunei, Singapura dan China, selain sekolah-sekolah mengadakan kutipan derma.

Selain bantuan orang ramai, liputan media juga membuka laluan kepada sokongan pihak berwajib termasuk JKM dan kerajaan negeri yang menyalurkan bantuan RM30,000 serta-merta selepas pertemuan dengan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
“Kebetulan masa tu suami pun hilang kerja sebab kena jaga Arif. Jadi bantuan itu sangat-sangat bermakna,” katanya.
Kini pada usia 22 tahun, Wan Arif yang kehilangan kaki kiri akibat kanser tersebut telah bangkit dan berjaya mencapai impian menjadi pemain bola sepak di bawah Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Perak.

Graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Pengurusan Maklumat itu berkata, dia bekerja sementara sambil aktif dalam sukan bola sepak amputee termasuk mewakili Malaysia ke kejohanan di Indonesia tahun lalu.
“Terima kasih sangat-sangat kepada semua yang membantu. Disebabkan sokongan itu, Arif dapat jalani rawatan dan hidup macam orang lain,” ujarnya.
Sehingga kini, Wan Arif masih menggunakan kaki palsu namun untuk menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa, alat bantuan itu perlu diganti bergantung kepada faktor pertumbuhan dan keadaan fizikal dengan kos sekitar RM12,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

