Jojo sedia lepaskan sisi ganas hadapi Ramadan

Jojo dan Ramadan akan bertarung di gelanggang Inner Circle 24 ONE Championship di Stadium Lumpinee pada Jumaat ini. Foto Agensi
Jojo dan Ramadan akan bertarung di gelanggang Inner Circle 24 ONE Championship di Stadium Lumpinee pada Jumaat ini. Foto Agensi
A
A
A

MUHAMMAD Johan Ghazali Zulfikar bersedia menampilkan sisi ganasnya apabila berdepan Ramadan Ondash dalam pertarungan Inner Circle 24 ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, Jumaat ini.

Petarung sensasi negara itu mahu meneruskan gelombang kejayaan Malaysia selepas Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama merangkul gelaran dunia ONE Championship menerusi kemenangan TKO ke atas legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao pada minggu lalu.

Bagi Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo, kejayaan Aliff membuktikan atlet negara mampu bersaing di pentas tertinggi dan beliau mahu membuktikan perkara sama apabila turun menentang Ramadan.

Pertarungan itu turut menarik perhatian kerana kedua-dua petarung berusia 19 tahun tersebut pernah mengenali antara satu sama lain sejak saingan amatur pada 2019.

Mereka pernah membina hubungan persahabatan ketika menyertai beberapa kejohanan, namun hubungan itu terpaksa diketepikan apabila masing-masing melangkah ke pentas profesional ONE Championship.

Cabaran terhadap Johan tercetus selepas Ramadan mencatat kemenangan ke atas petarung Thailand, Suriyanlek Por Yenying pada Mei lalu selepas menaikkan kategori ke flyweight.

Ramadan kemudian menyatakan hasrat untuk berdepan Johan selepas kemenangan itu sebelum pertarungan mereka disahkan secara rasmi.

Kedua-dua petarung hadir dengan misi tersendiri apabila Johan mahu kembali membina momentum selepas kekalahan terbaru di tangan petarung Jepun, Shimon Yoshinari di ONE SAMURAI 1 di Tokyo pada April lalu.

Sementara itu, Ramadan melihat pertarungan tersebut sebagai peluang terbesar dalam karier awalnya selepas kembali mencatat kemenangan di divisyen flyweight.

Artikel Berkaitan:

Pertembungan itu juga menjadi medan penting buat Johan untuk mengukuhkan semula kedudukannya dalam ONE Championship selain meneruskan momentum kebangkitan Malaysia selepas kejayaan bersejarah Aliff.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!