TH perlu kembali kepada fungsi asal - Penganalisis

Laporan muka depan Sinar Harian dan Dr Barjoyai.
Laporan muka depan Sinar Harian dan Dr Barjoyai.
A
A
A

SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (TH) perlu kembali kepada peranan asal sebagai institusi pengurusan jemaah haji.

Ia susulan pendedahan Suruhanjaya Diraja (RCI) TH mengenai kerugian berbilion ringgit akibat ketidakpatuhan peraturan, keputusan pelaburan salah dan pelbagai kelemahan dalam pengurusannya sejak 2014.

Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, ini kerana kemelut kewangan TH dilihat berpunca daripada masalah struktur institusi itu sendiri.

Menurutnya, TH berdepan masalah apabila cuba berperanan sebagai institusi pelaburan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), sedangkan ia tidak mempunyai struktur organisasi serta disiplin pengurusan portfolio seperti pengurus dana profesional.

Ujar beliau, kelemahan disiplin dalam mengurus portfolio pelaburan menyebabkan keputusan pelaburan dibuat tanpa kawalan risiko sepatutnya.

“TH cuba menjadi institusi pelaburan seperti PNB atau KWSP sedangkan ia tidak mempunyai struktur organisasi dan keupayaan sebagai pengurus pelaburan.

“KWSP mempunyai portfolio pelaburan yang jelas merangkumi pendapatan tetap, saham tempatan, saham luar negara dan modal teroka dengan peca-han risiko dikawal secara disiplin, sedangkan TH tidak mempunyai pengurusan portfolio sedemikian dan melabur mengikut peluang yang ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu malam, kerajaan mendedahkan laporan penuh RCI TH yang merumuskan kerugian besar dialami institusi itu, selain dakwaan pemalsuan akaun, pelaburan bermasalah dan campur tangan ahli politik dalam pentadbiran TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan TH mengalami kerugian kira-kira RM10 bilion akibat kegagalan mematuhi peraturan dan kesilapan dalam keputusan pelaburan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, tekanan untuk memberikan pulangan tinggi juga antara faktor menyebabkan TH berdepan cabaran apabila perlu memenuhi jangkaan pendeposit.

Menurutnya, keadaan itu berlaku selepas TH pernah mengumumkan kadar hibah dan bonus tinggi sebanyak 8.25 peratus untuk tahun kewangan 2014 sehingga mewujudkan harapan pendeposit untuk memperoleh pulangan setara pada tahun berikutnya.

“Apabila orang ramai menyimpan di TH, mereka mengharapkan pulangan tinggi. Pengurusan pula terpaksa mengumumkan dividen pada tahap tinggi walaupun prestasi pelaburannya tidak berjaya mencapai sasaran.

“Disebabkan tiada disiplin pengurusan portfolio, mereka tidak dapat mencapai pulangan diharapkan dan akhirnya perlu melakukan pelarasan bagi membolehkan pembayaran dividen dibuat,” ujarnya.

Mengenai keputusan pelaburan yang menyebabkan kerugian, beliau berkata, antara kelemahan ketara ialah penglibatan TH dalam pelaburan modal teroka yang mempunyai risiko tinggi.

Jelas beliau, pelaburan sedemikian lazimnya mempunyai kadar kegagalan yang besar dan hanya sebahagian kecil mampu mencatatkan kejayaan.

“Dalam pelaburan modal teroka, kalau berjaya keuntungannya besar tetapi kalau gagal kerugiannya juga besar.

"Institusi seperti KWSP dan PNB biasanya hanya memperuntukkan bahagian kecil dalam pelaburan berisiko tinggi untuk meminimumkan risiko,” ujarnya.

Justeru, Barjoyai menegaskan TH perlu beri tumpuan semula kepada peranan asal sebagai institusi yang menguruskan jemaah haji.

Katanya, TH mempunyai rekod cemerlang dan pernah diiktiraf sebagai antara institusi pengurusan haji terbaik di dunia.

“Matlamat utama TH ialah memastikan umat Islam dapat menunaikan haji dengan pengurusan cekap, manakala pelaburan perlu diserahkan kepada pihak yang mempunyai kepakaran mengurus portfolio,” katanya.

Tambah beliau, langkah memindahkan portfolio pelaburan berisiko tinggi kepada pelaburan berpendapatan tetap yang dilakukan selepas 2018 merupakan tindakan yang tepat kerana dapat mengurangkan risiko serta menstabilkan pendapatan TH.

"Satu pilihan boleh dipertimbangkan ialah TH bekerjasama dengan institusi pengurusan pelaburan berpengalaman seperti KWSP dan PNB bagi menguruskan dana pelaburannya.

“TH tidak perlu kejar keuntungan luar biasa sehingga membolehkannya bayar hibah lapan atau sembilan peratus. TH perlu menerima hakikat ia bukan institusi pelaburan yang bersaing dengan KWSP atau PNB," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!