Dapatan RCI TH tidak boleh berakhir sebagai laporan semata-mata - ABIM

SHAH ALAM - Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak boleh berakhir sebagai sebuah laporan semata-semata.
Sebaliknya, menurut Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sebarang syor berkaitan dengan pelanggaran undang-undang hendaklah disusuli dengan siasatan serta tindakan lanjut oleh pihak berkuasa mengikut lunas perundangan dan berdasarkan bukti yang mencukupi.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, tiada mana-mana pihak wajar diberikan layanan istimewa apabila membabitkan amanah serta kepentingan awam.
Beliau berkata, ABIM menyambut baik pendedahan laporan RCI berhubung pengurusan TH serta kesediaan kerajaan mendedahkan dapatan itu kepada umum, yang disifatkan sebagai manifestasi komitmen terhadap ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam mengurus sebuah institusi yang memegang amanah jutaan pendeposit Islam di negara ini.
"ABIM turut mengambil maklum dan menghargai usaha kerajaan Madani sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam melaksanakan langkah pemulihan institusi TH, termasuk menstabilkan kedudukan kewangan, memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan pendeposit secara berperingkat.
"Usaha ini wajar diiktiraf sebagai sebahagian daripada proses pembaikan institusi yang berterusan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada masa sama, beliau berkata, keutamaan yang lebih besar ialah memastikan reformasi institusi TH dilaksanakan secara menyeluruh.
Menurutnya, pembaharuan tadbir urus perlu memberi penekanan kepada pengukuhan mekanisme semak dan imbang, peningkatan akauntabiliti, pelantikan kepimpinan yang berasaskan merit, profesionalisme dan integriti.
Selain itu, perlu memastikan pengurusan institusi itu bebas daripada sebarang campur tangan yang boleh menjejaskan keputusan yang dibuat demi kepentingan pendeposit.
Beliau turut menggesa supaya semua syor reformasi yang dikemukakan oleh RCI dilaksanakan secara berperingkat dan dipantau secara berterusan.
"Reformasi itu bukan sahaja bertujuan memperbetulkan kelemahan lalu, malah membina sebuah TH yang lebih berdaya tahan, diyakini dan mampu memenuhi amanah umat Islam pada masa hadapan," katanya.
Dalam pada itu, ABIM menyeru seluruh masyarakat supaya menilai dapatan RCI secara objektif dan berasaskan fakta.
Beliau berkata, isu itu tidak wajar dipolitikkan atau dijadikan bahan polemik yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi TH.
"Ini kerana matlamat utama semua pihak ialah mempertahankan sebuah institusi strategik umat Islam melalui reformasi yang menyeluruh, akauntabiliti yang tegas serta tadbir urus yang terbaik," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

