Selat Hormuz kekal ditutup - IRGC

TEHERAN - Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menegaskan Selat Hormuz akan kekal ditutup selagi ancaman maritim dan campur tangan Amerika Syarikat (AS) di rantau itu berterusan.
"Selat Hormuz adalah wilayah kami dan berada di bawah kawalan kukuh Tentera Laut IRGC. Tiada pihak luar akan dibenarkan mencampuri urusan di laluan strategik itu.
"Retorik melampau Washington hanya akan menjadikan keadaan lebih sukar dan semakin rumit," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya lagi, mana-mana negara yang membantu pihak penceroboh bakal berdepan tindakan tegas sekiranya terus mengekalkan pendirian tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, data S&P Global menunjukkan laluan perkapalan melalui Selat Hormuz dan Bab el-Mandeb di Laut Merah tidak terjejas meskipun sekatan dikenakan di kedua-dua laluan penting tersebut. Pada Rabu, Pakistan selaku perantara proses damai memaklumkan rundingan antara AS dan Iran masih 'berlangsung' ketika pertempuran kembali tercetus di beberapa kawasan di Asia Barat.
Jurucakap Kementerian Luar, Tahir Andrabi memberitahu sesi dialog masih berjalan khususnya berkaitan Selat Hormuz dan usaha untuk meredakan ketegangan.
"Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk membawa kesemua pihak kembali kepada Memorandum Persefahaman (MoU) Islamabad," ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

