Iran tunjuk kesungguhan paling tinggi setakat ini dalam rundingan dengan AS - Trump

Donald Trump. Foto AFP
Donald Trump. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Donald Trump pada Jumaat berkata, Iran menunjukkan kesungguhan paling tinggi setakat ini dalam rundingan dengan Amerika Syarikat (AS), namun beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran terhadap negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Kami sedang berunding dengan mereka sekarang. Saya fikir mereka semakin serius dari hari ke hari, mungkin atas sebab yang jelas.

"Saya fikir mereka benar-benar serius. Setakat ini, inilah tahap kesungguhan tertinggi yang pernah kami lihat daripada mereka.

"Namun, itu tidak bermakna kami akan mencapai persetujuan. Kita lihat apa yang berlaku,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval.

Ketika ditanya sama ada beliau sudah membuat keputusan untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran, Trump menjawab: "Tidak, saya belum membuat keputusan.”

"Kami boleh meningkatkannya ke tahap yang jauh lebih tinggi sekiranya mahu dan kami bersedia untuk berbuat demikian… Kami berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia untuk bertindak,” katanya.

"Ada dua jalan. Saya menganggap jalan itu lebih bijak, tetapi jalan satu lagi mungkin lebih mudah,” kata Trump, merujuk kepada pilihan antara diplomasi dengan tindakan ketenteraan.

Ketika ditanya sama ada Utusan Khasnya Steve Witkoff serta menantu merangkap penasihatnya Jared Kushner terbabit dalam rundingan dengan Iran, Trump berkata, "semua pihak” terlibat, termasuk Naib Presiden JD Vance dan Setiausaha Negara Marco Rubio.

"Ini perkara besar. Mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear,” kata Trump.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun apa juga yang diperkatakan mengenai pilihan raya, saya tidak terburu-buru. Kita perlu melakukannya dengan betul,” KATA Trump merujuk kepada pilihan raya separuh penggal AS pada musim luruh ini.

Ahli strategi Parti Republikan dilaporkan bimbang perang yang tidak mendapat sokongan ramai itu boleh menyebabkan parti Trump kehilangan kerusi di kedua-dua dewan Kongres.

Trump sendiri tidak bertanding dalam pilihan raya November, namun sekiranya Parti Demokrat menguasai satu atau kedua-dua dewan, keadaan itu boleh menyukarkan beliau melaksanakan pentadbiran bagi tempoh dua tahun terakhir penggalnya.

AS melancarkan beberapa siri serangan di seluruh Iran sejak minggu lepas sebagai tindak balas terhadap apa yang didakwanya sebagai serangan Iran ke atas kapal dagang di Selat Hormuz.

Teheran pula melancarkan serangan balas yang menyasarkan kemudahan dan pangkalan yang didakwa digunakan tentera AS di beberapa negara di rantau itu. - Bernama-Anadolu

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!