'Assalamualaikum, nak minta sedekah ado ko?' — Pok Mat antara 8 diselamatkan

KOTA BHARU – Individu yang dikenali ramai menerusi ungkapan loghat Kelantan, “Assalamualaikum, nak minta sedekah ado ko?”, iaitu Pok Mat antara lapan individu yang diselamatkan dalam Operasi Murni Bersepadu di sekitar bandar ini pada Rabu malam.
Operasi yang diketuai Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) itu membabitkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, operasi yang berlangsung dari jam 9.30 malam hingga 12 tengah malam itu melibatkan 45 anggota daripada empat agensi terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan dijalankan di beberapa lokasi tumpuan termasuk kawasan bank sekitar bandar Kota Bharu, Dataran Muhammadi, Dataran Bandaraya MPKB-BRI, Dataran Masjid Jamek Muhammadi, Kubang Kerian dan Pasir Tumbuh.
“Hasil operasi, seramai lapan individu berusia antara sembilan hingga 70 tahun diselamatkan, membabitkan empat warga tempatan dan empat warga asing.
“Warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dewasa termasuk Pok Mat, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, manakala warga asing membabitkan tiga wanita dewasa,” katanya selepas operasi.

Che Samsuzuki berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut mengesan individu yang meminta sedekah daripada orang ramai.
“Pok Mat sendiri memberitahu dia memperoleh RM200 hingga RM300 sehari hasil pemberian orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati terdapat warga asing yang menggunakan jualan kerepek dan makanan ringan sebagai helah untuk meraih simpati orang ramai di kaki lima bank.
“Mereka masuk ke Malaysia menggunakan pasport yang sah, namun dipercayai menyalahgunakan pas lawatan dengan menjalankan aktiviti menjual barangan di tempat awam.
“Kesemua warga asing ini diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam operasi sama, pihak penguat kuasa turut menampal pelekat peringatan dan memberikan penerangan kepada orang ramai supaya menyalurkan sumbangan melalui saluran yang sah serta tidak mudah tertipu.
“Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada pertubuhan kebajikan berdaftar, rumah ibadat atau Yayasan Kebajikan Negara bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Tambah beliau, jumlah individu yang diselamatkan dalam operasi kali ini bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding kebiasaan yang mencecah lebih 10 individu dalam setiap operasi sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

