Dua anggota bomba maut, kebakaran hutan terus ancam selatan Eropah

ATHENS - Dua anggota bomba Greece maut ketika memadam kebakaran hutan yang marak di wilayah Rethymno di pulau Crete, ketika beberapa negara di selatan Eropah berdepan gelombang haba dan kebakaran yang semakin memburuk.
Menurut pihak berkuasa Greece, kedua-dua anggota bomba itu terperangkap ketika menjalankan operasi memadam kebakaran yang merebak pantas akibat tiupan angin kencang sehingga memaksa beberapa kampung dipindahkan.
Saksi berkata, beberapa titik kebakaran tercetus serentak di Crete sebelum merebak dengan cepat, manakala barisan api terbesar dilaporkan menjangkau sehingga 15 kilometer.
Selain Crete, kebakaran turut dilaporkan di pulau Paros dan Lesbos di Laut Aegean serta di bandar Trifylia di tanah besar Greece.
Di Turkiye, kebakaran hutan di wilayah Mugla menyebabkan lebuh raya utama yang menghubungkan Fethiye dan Antalya terpaksa ditutup, selain memaksa sebahagian hospital dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Sementara itu, Sepanyol dan Perancis berdepan gelombang haba keempat musim panas tahun ini, dengan pasukan bomba berusaha menghalang kebakaran yang sebelum ini berjaya dikawal daripada kembali merebak.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez berkata, tempoh 12 jam akan datang amat kritikal dalam usaha memadam kebakaran berhampiran Madrid.
Beliau memaklumkan keadaan menunjukkan perkembangan positif, namun suhu yang tinggi, kelembapan rendah dan tiupan angin berisiko mencetuskan semula kebakaran.
Kebakaran di wilayah Avila, kira-kira 150 kilometer di barat Madrid, telah memusnahkan lebih 43,000 hektar kawasan dan kini dianggap kebakaran hutan terbesar pernah direkodkan dalam sejarah Sepanyol.
Secara keseluruhan, lebih 207,000 hektar tanah dilaporkan terbakar di negara itu sepanjang tahun ini.
Pihak berkuasa Sepanyol bagaimanapun mula melonggarkan sekatan di beberapa kawasan terjejas, membolehkan puluhan ribu penduduk kembali ke rumah masing-masing selepas keadaan bertambah stabil.
Namun kebakaran di Vall d'Uixo, berhampiran Valencia, masih belum dapat dikawal sepenuhnya.
Di Perancis pula, beberapa kebakaran di wilayah Gironde dilaporkan terkawal walaupun berlaku beberapa kebakaran kecil baharu.
Pihak berkuasa memberi amaran cuaca panas sehingga 41 darjah Celsius serta angin kering boleh meningkatkan risiko kebakaran.
Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus sebelum ini menyatakan Eropah merupakan benua yang mengalami pemanasan paling pantas di dunia, dengan kadar peningkatan suhu hampir dua kali ganda berbanding purata global.
Keadaan itu dipercayai menyumbang kepada gelombang haba yang lebih kerap dan kebakaran hutan yang semakin ekstrem di rantau berkenaan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
