Asyraf persoal isu Tabung Haji dibangkitkan ketika PRN Negeri Sembilan

PORT DICKSON – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan mengapa isu berkaitan Tabung Haji dibangkitkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, meskipun beliau menyambut baik usaha mendedahkan perkara itu kepada umum.
Beliau berkata, desakan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkaitan Tabung Haji sebenarnya telah dibuat sejak enam tahun lalu ketika beliau memimpin Pergerakan Pemuda UMNO.
Menurutnya, siasatan itu sepatutnya meliputi bukan sahaja tempoh sebelum 2020, malah proses pemulihan yang dilaksanakan selepas itu termasuk penjualan aset dan langkah penstrukturan semula organisasi.
"Saya kira segala yang hendak didedahkan itu mesti dibahaskan dan sebaik-baiknya turut dibawa ke Parlimen seperti mana RCI lain termasuk RCI Felda supaya semua pihak dapat mengambil tanggungjawab.
"Yang paling penting, jangan ada yang terlepas. Persoalannya, kenapa perlu dibuat hari ini sewaktu PRN Negeri Sembilan? Itu menjadi tanda tanya orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Cina di Kampung Pachitan, Chuah di sini pada Rabu.
Asyraf berkata, sekiranya terdapat sebarang salah laku, tindakan sewajarnya perlu diambil dan isu itu tidak seharusnya dijadikan bahan untuk mewujudkan persepsi negatif yang boleh menjejaskan institusi penting orang Melayu dan Islam.
Mengulas sama ada isu berkenaan mampu mempengaruhi pengundi Melayu, beliau berpandangan pengundi kini lebih matang dan bijak dalam membuat keputusan berdasarkan pengalaman pilihan raya sebelum ini.
"Saya rasa pengundi amat bijaksana. Di Johor pun isu-isu lampau pun dibangkitkan. Contohnya Barisan Nasional menang besar, Datuk Seri Najib akan dibebaskan. Jadi saya rasa pengundi cukup bijaksana untuk membuat ketetapan dan juga membuat pendirian.
Sementara itu, beliau yakin terdapat perubahan sokongan dalam kalangan masyarakat Tionghoa yang didakwa kecewa dengan kegagalan kerajaan menunaikan sebahagian janji yang dibuat sebelum ini, selain berdepan peningkatan kos menjalankan perniagaan.
"Rata-rata masyarakat Tionghoa merasa tertipu dengan segala janji-janji palsu terutamanya DAP yang bagi mereka apabila mereka sudah menjadi kerajaan, apa yang dijanjikan tidak seperti mana yang diharapkan.
"Ramai peniaga-peniaga Cina yang datang berjumpa dengan kami, mereka mengatakan bahawa 'business is not as friendly as before'.
"Maknanya kos-kos melakukan perniagaan itu begitu tinggi berbanding dengan zaman Barisan Nasional. Jadi saya kira kita minta supaya masyarakat Tionghoa buatlah keputusan terbaik untuk kita tukar balik kepada Barisan Nasional," katanya.
Dalam perkembangan sama, Asyraf berkata, BN tidak mahu terlalu yakin menjelang hari pengundian walaupun indikator yang diterima adalah positif, sebaliknya akan terus bekerja keras bagi meraih sokongan pengundi sehingga saat akhir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
