Saya kerja keras sebab mahu Malaysia jadi negara contoh - PM Anwar

NILAI - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau terus bekerja keras tanpa mengenal penat lelah semata-mata mahu mengangkat martabat Malaysia sebagai sebuah negara contoh di rantau ini menerusi pentadbiran yang berintegriti dan berteraskan khidmat kepada rakyat.
Beliau berkata meskipun masih terdapat pelbagai kelemahan dan isu yang belum dapat diselesaikan sepenuhnya, kerajaan akan terus berusaha memperbaiki mutu pentadbiran demi kesejahteraan rakyat.
"Saya mentadbir sebagai orang tua tapi saya kerja macam orang muda... saya kasih pada negeri ini, saya nak angkat martabat, saya nak jadikan Negeri Sembilan dan Malaysia negara contoh di rantau ini tapi kita kena kerja kuat.
"Kita dah buat sedaya upaya kita... cukup? Belum…saya orang pertama yang mengaku, mohon maaf kalau ada apa-apa kekurangan dan kelemahan sebab saya nak supaya negeri ini ditadbir dengan baik,” katanya ketika berucap pada program Grand Finale Jelajah Kekal Harapan di sini malam ini.
Perdana Menteri juga berkata kejayaan sesebuah pentadbiran tidak diukur dengan dakwaan menyelesaikan semua masalah sebaliknya melalui kesungguhan memikul amanah secara jujur dan telus. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
