Sindiket edar methamphetamine tumpas, pegawai polis ditahan

Hussein Omar Khan
Hussein Omar Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine bagi pasaran tempatan dan luar negara dalam operasi yang bermula Sabtu lepas hingga semalam, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata, dalam operasi itu, sebanyak 410 bungkusan plastik mengandungi dadah terbabit seberat 425.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM21.3 juta dirampas manakala seorang pegawai polis berstatus ditahan kerja sejak dua tahun lepas turut diberkas.

Hussein berkata, pegawai polis berusia lingkungan 30-an yang disyaki dalang sindiket terbabit ditahan bersama-sama lima lelaki berusia antara 39 hingga 46 tahun di Cheras, di sini.

"Sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan melibatkan ahli sindiket dari Kelantan dan menjadikan rumah teres sekitar Lembah Klang sebagai stor penyimpanan sebelum dadah diedar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini pada Rabu.

Hussein berkata, semakan mendapati pegawai polis itu memiliki satu rekod berkaitan dadah dan kesemua individu berkenaan kini direman hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti saki-baki ahli sindiket dan akan mengambil tindakan agresif untuk menghapuskan aktiviti pengedaran dadah itu.

Dalam kes lain, Hussein berkata, lelaki yang diselamatkan dalam kes culik membabitkan tuntutan wang tebusan RM7 juta di Selangor baru-baru ini disyaki terbabit secara langsung dalam sindiket pengedaran dadah tempatan.

Lelaki terbabit yang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (LLPK), katanya kini disiasat bagi mengenal pasti rangkaian lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.

Pada 19 Julai lepas, polis menyelamatkan seorang lelaki yang dilaporkan diculik dan menahan enam individu berusia antara 30 hingga 46 tahun dipercayai menuntut wang tebusan sebanyak RM7 juta dalam operasi khas di Selangor.

Susulan itu, pada 22 Julai, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, mangsa berusia berusia 44 tahun itu ditahan mengikut LLPK selepas siasatan mendapati wujud elemen pengedaran dadah dalam kes penculikan berkenaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!