Tiga beranak maut: Pemandu Aruz didakwa memandu khayal dadah sebabkan kematian

KAJANG – Pemandu kereta Perodua Aruz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian tiga beranak.
Buruh kampung, Mohd Norazlan Mohd Tamyiz, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Fatin Dayana Jalil.
Mengikut semua, bapa dua anak itu didakwa memandu kereta itu di bawah pengaruh dadah berbahaya jenis Methamphetamine sehingga menyebabkan kematian Hafifi Rahmat, 34; isteri, Nik Aishah Asilah Nik Mohd Zamzuri, 32 dan anak mereka, Muhammad Rafie Hanzal, 3, di Jalan Batu 17 Hulu Langat, di sini jam 7.56 pagi pada 29 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Ia termasuk hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh sabitan dan dalam hal sabitan kali kedua atau seterusnya, hilang kelayakan selama tempoh 20 tahun dari tarikh sabitan mengikut Seksyen 44(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farhanim Abdul Halim tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.
Bagaimanapun, peguam, S Priyalatha yang mewakili Mohd Norazlan merayu anak guamnya diberi jaminan kerana tertuduh merupakan penanggung tunggal, perlu menyara keluarga dan ibu bapa yang uzur.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, bagi semua pertuduhan.
“Termasuk syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan,” katanya menambah sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan laporan patologi pada 18 September depan.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, mangsa bersama isteri dan anak mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Aruz sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Kejadian berlaku ketika Hafifi mahu menghantar isterinya berniaga nasi kukus dan anak bongsu mereka ke tadika di Nanding, di sini.
Sebelum itu, Hafifi sempat menghantar dua lagi anak lelakinya yang masing-masing berada di Darjah Empat dan Darjah Dua ke sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

