Ahmad Zahid harap laporan RCI Tabung Haji tidak dimanipulasi

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SEREMBAN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang akan didedahkan nanti tidak dimanipulasikan oleh mana-mana pihak.

Menurut beliau, laporan tersebut bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana individu dan tidak seharusnya dipolitikkan.

"Saya fikir TH sedang menuju ke arah memantapkan portfolio pelaburannya dan kedudukan aliran tunainya. Pada hemat saya, laporan itu bukan mahu menuding jari kepada seseorang, tetapi merupakan satu syor yang tidak harus dipolitikkan.

"Apatah lagi pada hari Sabtu ini, ia adalah hari yang penting untuk Negeri Sembilan dan saya harap ia tidak dimanipulasikan," katanya ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Program Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET Mara Negeri Sembilan di sini pada Rabu.

Terdahulu media melaporkan, laporan RCI TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 akan didedahkan kepada umum pada Rabu dan dibuat pengelasan semula.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH serta memperhalusi kandungan laporan berkenaan dalam mesyuarat diadakan.

Menurut Ahmad Zahid, laporan tersebut sepatutnya telah dikeluarkan kira-kira tiga tahun lalu, namun ditangguhkan atas permintaan pihak pengurusan TH dan menteri ketika itu.

Katanya, penangguhan itu dibuat kerana dibimbangi akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pendeposit sehingga mendorong mereka mengeluarkan simpanan masing-masing.

"Sepatutnya laporan itu telah dikeluarkan kira-kira tiga tahun lalu, tetapi pihak pengurusan TH dan menteri ketika itu memohon agar laporan itu tidak didedahkan kerana dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya penebusan wang yang didepositkan di TH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mencadangkan supaya satu Sidang Khas Parlimen diadakan bagi membentangkan perkara tersebut.

Tambahnya, turut dicadangkan supaya tempoh dapatan kajian tidak hanya meliputi sehingga tahun 2020, sebaliknya dilanjutkan sehingga tahun 2022 apabila pengurusan baharu TH mengambil alih.

"Ini adalah bagi memperlihatkan bahawa usaha-usaha pemulihan, antaranya penstrukturan aset, pencairan aset dan lain-lain langkah untuk memulihkan TH benar-benar telah dilaksanakan berdasarkan syor-syor yang dibuat dalam laporan RCI.

"Kita mengharapkan agar langkah-langkah pemulihan dapat dilakukan sebagai tanda komitmen pihak kerajaan supaya pendeposit TH akan memperoleh pulangan yang sepatutnya, bukan hanya berdasarkan industri yang diceburi oleh pelaburan TH, tetapi juga bidang-bidang yang akan memberikan pulangan bagi sekurang-kurangnya mengurangkan kos untuk menunaikan ibadah haji,'katanya.

Ahmad Zahid berkata, semua sedia maklum bahawa kos menunaikan haji telah meningkat disebabkan oleh pelbagai faktor.

Namun jelas beliau, dengan hasil keuntungan melalui dividen atau bonus yang akan diberikan kelak, ia akan memperlihatkan kos tersebut boleh diturunkan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!