Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji, bentang dan bahas di Dewan Rakyat

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kabinet bersetuju untuk mengklasifikasikan semula (declassify) dan mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi Tabung Haji (TH).
Menurutnya, laporan RCI TH juga akan dibentangkan dan dibahaskan dalam satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
"Jemaah Menteri bersetuju bahawa Laporan ini akan diklasifikasikan semula dan didedahkan pada hari ini. Laporan ini juga akan dibentangkan dan dibahaskan di satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
RCI mengenai Tabung Haji ditubuhkan pada 15 Julai 2021 bagi menyiasat isu-isu berkaitan pengurusan institusi itu sepanjang tempoh 2014 hingga 2020, termasuk aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan keputusan-keputusan yang memberi kesan kepada kedudukan kewangannya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan laporan RCI tidak didedahkan lebih awal kerana kerajaan mahu mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit terhadap Tabung Haji ketika institusi itu sedang melalui proses pemulihan dan penstrukturan semula.
Pada Ahad lalu, Anwar berkata laporan berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum diputuskan untuk didedahkan kepada umum.
Beliau turut menegaskan sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab, manakala individu yang tidak bersalah perlu dibersihkan nama mereka.
Dalam pada itu, fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan, laporan RCI itu menggariskan sebanyak 25 syor tindakan penambahbaikan dengan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripada keseluruhan syor berkenaan.
"Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa TH telah mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus menunjukkan bahawa pengurusannya kini berada dalam keadaan lebih baik," jelas beliau.
Tambahnya, Kabinet memutuskan supaya siasatan penuh oleh badan-badan penguat kuasa berdasarkan dapatan dalam laporan RCI diteruskan serta-merta.
"Pihak- pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang," tegas Fahmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

