RCI Tabung Haji: Dedah segera laporan, rakyat nak tahu hasil siasatan - Ismail Sabri

SEREMBAN –Kerajaan digesa mendedahkan segera laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan salah laku dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) kepada umum sekiranya proses siasatan telah selesai.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat berhak mengetahui hasil siasatan tersebut, sekali gus mengembalikan keyakinan mereka terhadap institusi terbabit.
"Sekarang ini kes tersebut belum bermula lagi tetapi saya difahamkan siasatan itu sudah selesai. Kalau sudah selesai, tak perlulah simpan.
"Saya harap keluarkan apa yang ada. Siapa yang bersalah perlu dipertanggungjawabkan," katanya ditemui pemberita selepas Program Sembang Santai bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri(DUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin di sini pada Rabu
Ahli Parlimen Bera itu menegaskan, penubuhan RCI dibuat ketika pentadbirannnya atas desakan UMNO susulan pelbagai isu yang dibangkitkan, khususnya berkaitan penjualan aset milik TH.
Menurutnya, pihaknya mendapati sebuah syarikat khas telah ditubuhkan untuk mengendalikan harta TH sebelum beberapa aset, termasuk ladang telah dijual.
"Kita wujudkan RCI kerana ketika itu banyak isu, terutamanya dari segi penjualan aset kepunyaan TH yang mana mereka menubuhkan satu syarikat khusus untuk mengendalikan harta-harta TH dan dijual seperti ladang serta pelbagai lagi yang tidak sepatutnya dijual tetapi dijual.
"Jadi UMNO membuat keputusan meminta saya supaya mewujudkan RCI. Maknanya UMNO yang menubuhkan RCI selepas Majlis Tertinggi parti meluluskan supaya saya membawa isu ini ke Kabinet," katanya.

Ismail Sabri berkata, tujuan penubuhan RCI terbabit bukan untuk menyasarkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi mencari kebenaran berhubung isu yang menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut ketika itu.
Ini kerana katanya, pelbagai dakwaan dan serangan terhadap TH sehingga ada pihak yang mempengaruhi pendeposit supaya mengeluarkan simpanan mereka.
"Siapa yang bersalah perlu dipertanggungiawab. Jadi, terserah kepada kerajaan hari ini, tapi dari sebelah UMNO sangat jelas bahawa kita yang nak RCI ini.
"Tujuan kita bukan nak menganiaya sesiapa tapi nak kebenaran kerana serangan kepada TH ketika itu agak kuat, sehingga ada yang menyeru kepada orang ramai supaya keluarkan duit mereka," katanya.
Oleh yang demikian beliau berkata, RCI ditubuhkan tanpa melibatkan orang politik, malah ahli-ahlinya juga bukan terdiri daripada ahli politik, selain pelantikannya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Sebab itu tidak ada apa yang UMNO hendak sorok dalam isu ini. Bagi saya, kalau siasatan sudah selesai, bentangkanlah supaya rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku.
"Kalau siasatan telah selesai perlu bentangkan kepada Kabinet dan kepada rakyat kerana ini tuntutan mereka yang mahu mengetahui apa yang berlaku dalam TH," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan Kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan RCI berhubung TH kepada umum selepas dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Anwar mengakui beliau ‘dicabar’ pihak tertentu kerana belum mengeluarkan laporan tersebut walaupun pernah menyatakan akan berbuat demikian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

