Jordan dakwa pintas lima peluru berpandu Iran

ISTANBUL - Angkatan tentera Jordan pada Rabu memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dan menembak jatuh lima peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran menuju ke negara itu pada awal pagi Rabu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita rasmi Petra.
Peluru berpandu berkenaan dikesan menerusi sistem pengawasan dan pemantauan tentera sebelum berjaya dipintas serta dimusnahkan mengikut peraturan penglibatan yang diluluskan angkatan tentera.
Pihak berkuasa Jordan setakat ini tidak melaporkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan.
Dalam perkembangan berasingan, penyiar rasmi Iran, IRIB, yang memetik Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), melaporkan bahawa peluru berpandu balistik menyasarkan sebuah pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) di Jordan sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai "tindakan agresif tentera AS."
IRGC menyatakan operasinya akan diteruskan selagi "ancaman terhadap Republik Islam Iran" serta apa yang disifatkannya sebagai "tindakan menyalahi undang-undang dan berniat jahat" oleh tentera AS terhadap kepentingan Iran masih berterusan.
Jordan kini menjadi sasaran serangan untuk hari ketiga berturut-turut.
Pada Selasa, tentera Jordan memintas sebuah dron selepas ia memasuki ruang udara Jordan, sehari selepas mengumumkan berjaya menembak jatuh dua dron.
Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mengenal pasti sumber dron berkenaan. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
