Suhu meningkat, Jepun cipta 'peti sejuk manusia'

TOKYO - Sebuah syarikat dari Jepun memperkenalkan inovasi terbaharu berupa sebuah kotak penyejuk khas yang dikenali sebagai 'peti sejuk manusia', bagi membantu orang ramai mengatasi cuaca panas melampau yang semakin kerap melanda negara itu, lapor UPI.
Produk yang dinamakan Do Hiemon Box itu mempunyai saiz hampir menyamai mesin layan diri standard di Jepun dan direka untuk digunakan oleh seorang individu pada satu-satu masa.
Kotak berkenaan mengekalkan suhu dalaman sekitar 15 darjah Celsius. Sebaik sahaja pengguna berada di dalamnya, aliran udara sejuk akan disalurkan ke bahagian kepala, leher, bahu dan belakang badan bagi membantu menurunkan suhu badan dengan cepat.
Do Hiemon Box dibangunkan oleh pengeluar sistem penyejukan serta mesin layan diri, SDRS, sebelum dipasarkan oleh pembekal peralatan industri, Trusco Nakayama. Ia disasarkan untuk kegunaan di premis perniagaan, kawasan awam serta lokasi kerja yang terdedah kepada cuaca panas.
Menurut syarikat berkenaan, penggunaan kotak penyejuk itu mampu membantu mengurangkan simptom keletihan haba menerusi proses penyejukan badan yang pantas.
Selain itu, produk tersebut turut sesuai digunakan di lokasi pekerjaan luar seperti tapak pembinaan yang memerlukan pekerja berdepan suhu tinggi dalam tempoh yang lama.
Dewan Bandaraya Maebashi di Wilayah Gunma menjadi antara pihak terawal menerima Do Hiemon Box sebagai sumbangan. Orang ramai kini boleh menggunakan kemudahan itu secara percuma sepanjang waktu operasinya.
Do Hiemon Box dipasarkan pada harga AS$9,326.25, bersamaan kira-kira RM38,000.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, suhu di Jepun dilaporkan meningkat sehingga hampir 37 darjah Celsius.
Pada 15 Julai lalu, seramai 48 individu dimasukkan ke hospital di Tokyo akibat mengalami strok haba dalam tempoh sehari. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
