‘Angkara lembu berkeliaran, suami terlantar di hospital’

MELAKA - Rutin harian pasangan suami isteri keluar berniaga seawal jam 4.15 pagi bertukar tragedi apabila suaminya mengalami kecederaan serius pada tulang belakang selepas motosikal ditunggang tidak sempat mengelak seekor lembu yang tiba-tiba melintas jalan di Kampung Pulau dalam kejadian pada 12 Julai lalu.
Mangsa, Mohd Haffis Abdullah Saidi, 32, masih lagi menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas tidak mampu bergerak akibat kejadian itu.
Isterinya, Juriana Mohamed Yoonus, 31, berkata, ketika kejadian mereka baru 15 minit keluar dari rumah dan bergerak menggunakan kenderaan berasingan bagi memudahkan urusan perniagaan kedai makan.
Wanita itu berkata, dia memandu kereta manakala suaminya menunggang motosikal yang kebiasaannya digunakan untuk menghantar pesanan makanan kepada pelanggan.
"Ketika kejadian terdapat kira-kira lima ekor lembu berada di tepi jalan. Lembu-lembu itu memang biasa berkeliaran di kawasan berkenaan terutama sebelum waktu Subuh.
"Mungkin disebabkan terkejut dengan cahaya lampu kenderaan, seekor daripadanya tiba-tiba melintas jalan menyebabkan suami tidak sempat mengelak dan melanggar haiwan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.
Juriana berkata, keadaan di lokasi kejadian yang gelap dan sunyi menyebabkan suaminya terbaring di atas jalan kira-kira 30 minit sebelum dibantu orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut sementara menunggu ambulans tiba.
Katanya, ketika itu suamiya menerima 46 jahitan pada tangan kiri dan dua jahitan di dagu, keadaannya masih mampu berjalan dengan dipapah sebelum dibenarkan pulang selepas tiga hari menerima rawatan di hospital.

Bagaimanapun katanya, kesihatan suami tiba-tiba merosot apabila tidak mampu bergerak menyebabkan dia sekali lagi dihantar ke hospital sama untuk pemeriksaan lanjut termasuk menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI).
"Hasil pemeriksaan MRI barulah diketahui suami mengalami kecederaan pada tulang belakang dan pembengkakan saraf sehingga menyebabkan kedua-dua kakinya tidak dapat digerakkan.
"Keadaannya kini seperti separuh lumpuh dan hanya terbaring, terpaksa memakai lampin pakai buang kerana tidak mampu menguruskan diri sendiri," katanya.
Juriana berkata, suaminya yang telah lebih 10 tahun berniaga makanan kini terpaksa berehat bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap rawatan yang diterimanya.
Dalam pada itu, wanita itu turut menyatakan kekesalan terhadap kecuaian pemilik lembu membiarkan ternakan berkeliaran sehingga menyebabkan kemalangan yang hampir meragut nyawa pengguna jalan raya.
"Sehingga kini pemilik lembu belum tampil membuat permohonan maaf. Selepas saya menularkan kejadian itu, saya dapati lembu-lembu berkenaan tidak lagi berkeliaran di jalan raya seperti sebelum ini.
"Harap selepas ini pemilik ternakan lebih peka dan bertanggungjawab terhadap ternakan masing-masing. Biarlah suami saya menjadi orang terakhir yang menjadi mangsa kecuaian mereka, jangan ada mangsa lain lagi,” katanya.
Pada masa sama katanya, pihak penguat kuasa diharap dapat memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik ternakan yang mengambil mudah melepaskan haiwan ternakan mereka sehingga mengganggu keselamatan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

