'Janganlah main naratif ini lagi, bapa saya tak jahat' - Anak Aminuddin

SEREMBAN - Anak kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan dakwaan bahawa bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan diusir keluar dari kediaman rasmi kerajaan selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Nur Amalina menerusi hantaran di akaun Threads berharap dakwaan berkenaan dihentikan kerana memberi persepsi tidak tepat terhadap bapanya.
"Saya dah tengok benda ini banyak kali dan berharap fitnah ini dihentikan. Tiada siapa usir sesiapa.
"Ibu bapa saya tinggal di rumah kami di Taman Desa lxora sebulan selepas angkat sumpah. Mula-mula tak ‘plan’ pun nak pindah ke kediaman rasmi, tapi mengenangkan kesian ‘guards’ yang kena ‘station’ luar rumah dalam kabin, tak selesa,” katanya.
Hantaran itu dibuat susulan perkongsian seorang pengguna Threads yang berkongsi gambar Mohamad duduk di luar kediaman terbabit dengan keterangan 'Flashback luka lama Tok Mat, diusir keluar dari kediaman MB pada malam hari'.
Pengguna berkenaan turut mendakwa tindakan penyokong PH ketika itu menunjukkan sikap tidak menghormati seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negeri dan negara.
Nur Amalina berkata, keputusan berpindah ke Kediaman Rasmi Menteri Besar dibuat bukan bertujuan mengambil alih kediaman berkenaan, sebaliknya bagi memudahkan aspek keselamatan serta menjaga privasi jiran.
Ini kerana katanya, rumah keluarganya hanya di taman perumahan biasa dan kehadiran pengawal keselamatan serta pengiring yang keluar masuk dikhuatiri mengganggu keselesaan jiran-jirannya.
Beliau turut menjelaskan Kediaman Rasmi Menteri Besar merupakan milik kerajaan negeri dan urusan penggunaan kediaman tersebut dibuat mengikut prosedur ditetapkan.
"Janganlah main naratif ini lagi. Bapa saya tu tak jahat. Dia masih ada rumah sendiri.
"Ini bukan harta dia pun tiba-tiba nak halau orang. Dia pun tahu ini tumpangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

