Pelajar bertindak agresif hidap skizofrenia, tiada unsur buli - Polis

KUALA TERENGGANU - Polis mengesahkan tiada sebarang unsur buli dalam insiden membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua yang bertindak agresif di sebuah sekolah menengah agama di sini pada Selasa.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, hasil siasatan awal mendapati pelajar berusia 14 tahun itu menghidap skizofrenia sejak Mei lalu.
Menurut beliau, keadaan kesihatan mental remaja berkenaan sememangnya berada dalam pengetahuan ibu bapa serta pihak pentadbiran sekolah.
"Pelajar terbabit kini sedang menerima rawatan serta pemantauan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
"Pelajar itu menerima rawatan terakhir pada 14 Julai lalu dan dijadualkan menjalani rawatan susulan pada 15 September depan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Rabu.
Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan, tindakan pantas Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berjaya menenangkan remaja berkenaan yang berada dalam keadaan beremosi di tingkat dua bangunan sekolah tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Azli mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memujuk dan meredakan emosi pelajar berkenaan yang dipercayai mengalami tekanan dan kemurungan.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mohd Khairi memberitahu, pihak sekolah sebelum ini telah merujuk pelajar berkenaan kepada guru kaunseling sebanyak 11 sesi, selain mengadakan lima sesi konsultasi bersama ibu bapanya.
Jelas beliau, guru kaunseling akan meneruskan pemantauan harian melalui sesi perjumpaan berterusan.
Pada masa sama, katanya, pihak sekolah turut mengambil langkah keselamatan dengan menempatkan pelajar itu di kelas aras bawah serta meminta rakan-rakannya menemaninya ke mana sahaja.
"Sebagai langkah pencegahan dan kawalan, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) akan terus memantau perkembangan kes berkenaan secara berterusan," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Khairi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengaitkan insiden berkenaan dengan dakwaan tidak berasas yang boleh menimbulkan salah faham serta kegusaran masyarakat.
"Hasil siasatan setakat ini mendapati tiada sebarang unsur buli yang menjadi punca kejadian.
"Justeru, orang ramai diminta tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan gambar, rakaman video atau kandungan berkaitan kejadian itu di mana-mana platform media sosial kerana tindakan sedemikian boleh mengaibkan mangsa dan keluarganya," katanya.
Tambahnya lagi, sebarang penyebaran kandungan yang menyalahi undang-undang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Semua pihak diminta menghormati privasi mangsa serta keluarganya bagi memberi ruang kepada pihak hospital meneruskan rawatan, di samping membolehkan polis menjalankan pemantauan sewajarnya," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

