Polis pujuk lelaki bertindak agresif, berbogel dalam sungai

BACHOK – Polis mengambil masa selama 30 minit memujuk seorang lelaki terapung di dalam sungai dalam keadaan berbogel di Gate Air Pengkalan Petah, Tawang di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, lelaki terbabit yang dikatakan bertindak agresif ketika cuba dibawa naik ke tebing sungai dengan selamat.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai seorang lelaki dipercayai bertindak agresif di lokasi berkenaan sebelum anggota bergegas ke tempat kejadian.
Menurut beliau, setibanya di lokasi, polis mendapati lelaki itu sedang terapung di dalam sungai tanpa berpakaian.
"Berdasarkan maklumat orang awam, lelaki tersebut bertindak agresif ketika usaha dijalankan untuk membawanya naik ke tebing sungai.
"Pasukan polis kemudian bertindak menenangkan lelaki berkenaan dan selepas hampir 30 minit, berjaya membawanya ke tebing sungai dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau, pemeriksaan ke atas tubuh badan lelaki itu tidak menemui sebarang barangan salah atau menyalahi undang-undang sebelum dia dibawa ke Balai Polis Tawang untuk tindakan lanjut.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine.
"Suspek kemudian ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Semakan lanjut juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah," katanya.
Mohamad Ismail memberitahu, polis merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat serta memberi kerjasama sepanjang operasi dijalankan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi polis atau agensi berkaitan sekiranya berdepan situasi kecemasan bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

