Tidak semua aduan SPRM berakhir dengan pendakwaan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dalam podcast SPRM Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi pada Rabu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dalam podcast SPRM Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA – Aduan yang diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak semuanya berakhir dengan pendakwaan kerana setiap kes perlu melalui proses siasatan yang menyeluruh sebelum sebarang syor dikemukakan kepada Peguam Negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, setiap aduan yang diterima akan disiasat secara teliti dengan mengambil kira semua keterangan dan fakta sebelum dirujuk kepada Peguam Negara untuk pertimbangan lanjut.

Menurutnya, orang ramai perlu memahami bahawa fungsi SPRM adalah menjalankan siasatan secara bebas dan profesional, bukannya memastikan setiap aduan yang diterima berakhir dengan tindakan pendakwaan.

"SPRM ialah agensi bebas yang tidak memihak kepada mana-mana pihak, tidak bermakna setiap aduan yang dibuat kepada SPRM mesti disahkan benar.

"Fungsi SPRM ialah menyiasat, meneliti keterangan, mempertimbangkan semua sudut dan membuat syor berdasarkan hasil penyiasatan," katanya dalam podcast SPRM Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi pada Rabu.

Katanya, kertas siasatan kemudiannya dirujuk kepada pihak Peguam Negara untuk pertimbangan serta keputusan selanjutnya.

Abd Halim berkata, pegawai penyiasat SPRM merupakan pegawai yang kompeten, bertauliah dan diwartakan untuk menjalankan siasatan secara profesional serta tanpa memihak.

Beliau berkata, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, kepercayaan penuh diberikan kepada pegawai penyiasat untuk melaksanakan tugas mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.

"Selepas siasatan dibuat dan disemak oleh pihak atasan, perkara itu dirujuk kepada Peguam Negara.

Artikel Berkaitan:

"SPRM memperakukan hasil siasatan, tetapi keputusan untuk mendakwa atau tidak mendakwa berada di bawah bidang kuasa Peguam Negara," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!