Kelindan lori dipenjara 38 bulan culik, cederakan budak 14 tahun

Seorang kelindan lori dipenjara 38 bulan selepas mengaku bersalah menculik dan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan, minggu lalu.
Seorang kelindan lori dipenjara 38 bulan selepas mengaku bersalah menculik dan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan, minggu lalu.
A
A
A

KULIM - Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara 38 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah menculik dan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun, minggu lalu.

Majistret Nur Hamizah Mat Shah menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas tertuduh, M Shyrichs, 39, selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kulim untuk pertuduhan.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kulim untuk pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun 3 bulan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Lela Pahlawan Padang Serai pada jam 6.30 petang, 23 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 363 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Nur Hamizah menjatuhkan hukuman penjara 38 bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap bagi pertuduhan menculik, manakala bagi pertuduhan mencederakan, dia dihukum penjara lima bulan bermula dari tarikh yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Mohamad Fauzi manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, V Nyanasegaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!