Bengkel motosikal jadi sarang dadah

No Image Caption
A
A
A

KANGAR - Taktik berselindung di sebalik perusahaan bengkel motosikal di Kampung Permatang Keriang, Kuala Sanglang dekat sini bagi mengaburi mata polis ternyata gagal apabila aktiviti pengedaran dadah itu ditumpaskan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Mohd Anuar Jusoh berkata, pihaknya menahan seorang pengedar dadah dan seorang pembeli dadah masing-masing berusia 31 dan 28 tahun sedang membuat urus niaga jam 5.40 petang semalam.

“Pemeriksaan dilakukan dan kita menjumpai satu paket plastik berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 51 gram dan wang tunai berjumlah RM1,159.00 di ruang pejabat bengkel berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki berusia 31 tahun juga seorang mekanik motosikal itu adalah pengedar dadah di kawasan berkenaan yang aktif menggunakan ruangan pejabatnya sebagai tempat memproses dadah yang diambil dari luar.

“Hasil ujian kencing yang dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Mohd Anuar berkata, suspek berusia 31 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: