'Tak takut jika kembali jadi pembangkang' - Mohd Hasbie

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda menegaskan pihaknya tidak gentar sekiranya perlu kembali menjadi pembangkang jika senario politik semasa menyebabkan Kerajaan Perpaduan kehilangan majoriti di Parlimen.
Menurut beliau, Amanah sudah berpengalaman berada di blok pembangkang, justeru perkara itu bukan sesuatu yang membimbangkan berbanding keperluan memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
"Soal risau tak risau ini tak timbul. Soalnya ialah kita berpengalaman, kita selalu jadi pembangkang. Jadi untuk kembali jadi pembangkang itu bagi kita bukanlah satu yang besar sangat.
"Tetapi yang penting bila kita menyebut soal reaksi kepada apa yang dilakukan di peringkat Negeri Sembilan dan Johor itu, bagi saya kita mahukan kepada satu kepastian," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika menjadi panelis program Berani Semuka Sinar Harian bertajuk 'Seteru Jadi Kawan, Kawan Jadi Seteru: Politik Matang atau Huru-Hara' yang dihoskan oleh Ismail Adnan pada Selasa.
Mohd Hasbie berkata sedemikian ketika disoal sama ada Angkatan Muda Harapan (AMH) tidak risau sekiranya Barisan Nasional (BN) menarik sokongan secara 'en bloc' dan juga diikuti parti yang lain.
Antara panelis lain termasuklah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii dan Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara (Wawasan), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Mohd Hasbie berkata, kebimbangan itu berasaskan pengalaman politik sebelum ini apabila kerjasama antara parti akhirnya berpecah selepas memilih untuk bertembung dalam pilihan raya di peringkat negeri.
Beliau mengambil contoh Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan pada 2019 dengan harapan besar, namun kerjasama itu tidak bertahan lama selepas UMNO dan Pas bertembung dalam beberapa pilihan raya kecil.
"Tak sampai dua tahun dan perpecahan itu bermula dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor, di Melaka. Bila mana kedua-dua 'kabilah' besar parti Melayu ini memilih untuk bertembung.
"Walaupun di peringkat Persekutuan mereka masih kerajaan, tapi bila mereka bertembung di Johor dan Melaka mereka berpecah," katanya.
Menurut Mohd Hasbie lagi, situasi berbeza berlaku di Sabah dan Sarawak apabila parti-parti yang menjadi rakan di peringkat Persekutuan sudah lama bertanding sesama sendiri di peringkat negeri tanpa menjejaskan hubungan politik.
Bagaimanapun, katanya, keadaan sedemikian belum pernah berlaku di Semenanjung Malaysia dan menjadi satu ujian sekiranya kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) mampu dikekalkan walaupun berlaku pertembungan di peringkat negeri.
"Sekiranya BN dan PH boleh menjayakan untuk tempoh satu tahun, satu tahun setengah ini, ini adalah rekod kepada politik kita.
"Tapi ini satu langkah yang berisiko kerana kita bukan berada pada keadaan geopolitik yang stabil dan seluruh dunia sedang berhati-hati," ujarnya.
Hasbie berkata, pertembungan di Johor dan Negeri Sembilan mungkin hanya memberikan keuntungan politik di peringkat negeri, namun berpotensi menjejaskan kestabilan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, Pemuda Amanah akan akur dengan segala keputusan yang dibuat pimpinan tertinggi kerana kestabilan politik perlu diutamakan demi kesejahteraan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

