Remaja 17 tahun maut, hanyut ketika mandi sungai

GOPENG - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun meninggal dunia selepas dipercayai hanyut ketika mandi di Sungai Kampar di sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, mangsa dilaporkan hanyut sebelum rakan-rakannya menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan.
Menurutnya, ketika kejadian, terdapat anggota Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wilayah Utara dari Tronoh sedang menjalani latihan berhampiran lokasi.
"Anggota berkenaan telah terlebih dahulu memulakan operasi mencari mangsa menggunakan teknik ‘surface searching’.
“Mangsa berjaya ditemui dalam tempoh kira-kira 10 minit pada jarak antara 15 hingga 20 meter dari lokasi asal mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa naik ke tebing sungai sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota penyelamat.

Katanya, anggota FRAM bersama pasukan bomba memberikan bantuan pernafasan (CPR) secara berterusan selama hampir satu jam sementara menunggu ketibaan pasukan perubatan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
"Operasi yang melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng itu ditamatkan pada jam 4.18 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

