RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026 belum boleh dilaksanakan

SHAH ALAM - Badan Peguam Malaysia meluahkan kekecewaan terhadap pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Bidang Kuasa Admiralti 2026 di Dewan Rakyat yang tidak mengguna pakai kerangka perundangan dicadangkan pihaknya selepas bertahun-tahun melalui proses rundingan dan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Presidennya, Anand Raj berkata, cadangan RUU tersebut digubal bertujuan mewujudkan kerangka perundangan domestik yang komprehensif untuk mengawal selia tuntutan dan pertikaian maritim termasuk pemilikan kapal, kontrak perkapalan, pengangkutan barang melalui laut, pelanggaran kapal, salvaj, gadaian maritim serta penahanan kapal.
Menurut beliau, ia berasaskan prinsip yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sepertimana terkandung dalam Senior Courts Act 1981 United Kingdom (UK), Konvensyen Antarabangsa Berkaitan Penahanan Kapal Laut 1952 (International Convention Relating to the Arrest of Sea-Going Ships 1952) dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penahanan Kapal 1999 (International Convention on Arrest of Ships 1999).
"Langkah tersebut memberikan kebolehjangkaan yang tinggi kepada pihak berkepentingan dalam industri maritim, menyelaraskan Malaysia dengan bidang kuasa maritim antarabangsa serta meningkatkan daya tarikan negara sebagai lokasi pilihan bagi penyelesaian pertikaian maritim.
"Kami amat bimbang kalau RUU ini berkemungkinan mewujudkan keadaan yang lebih buruk berbanding kedudukan undang-undang sedia ada.
"Sebarang penyimpangan daripada prinsip admiralti boleh menimbulkan ketidakpastian dalam aspek tertentu pertikaian maritim serta mengurangkan daya saing Malaysia sebagai hab perundangan maritim pilihan di rantau ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada 13 Julai lalu, RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026 dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi penelitian lanjut.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said selepas bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Bagi mengatasi kebimbangan serius itu, kata Anand, RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026 wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sepertimana dimaklumkan Azalina.
Menyambut baik usaha sedemikian, jelas beliau, jawatankuasa tersebut diharap mampu menyediakan ruang bermakna untuk meneliti syor-syor yang dikemukakan Badan Peguam Malaysia serta pihak-pihak berkepentingan lain dalam industri.
Tambahnya, sukar untuk diterima sekiranya RUU 2026 dipolitik atau dijadikan bahan percaturan politik kepartian.
"Malaysia memiliki segala ciri diperlukan untuk dikenali sebagai negara yang memiliki bidang kuasa maritim terkemuka.
"Badan Peguam Malaysia turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama secara konstruktif dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, kerajaan dan pemain industri maritim bagi memastikan negara ini akhirnya menerima pakai kerangka admiralti berkenaan.
"Langkah ini sekali gus bakal melindungi kepentingan pemilik kapal, pelaut, penyewa kapal dan kargo, institusi pembiayaan serta syarikat insurans yang beroperasi dalam sektor maritim Malaysia," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
