Kopera mula projek ekopelancongan Tasik Raban

A
A
A

Yaakub (dua dari kanan) menerima cek cura Geran Koperasi Perak (GKOP) berjumlah lebih RM18,000 yang disampaikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Yaakub (dua dari kanan) menerima cek cura Geran Koperasi Perak (GKOP) berjumlah lebih RM18,000 yang disampaikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

IPOH - Pemberian geran koperasi sebanyak RM18,000 menjadi pemangkin kepada usaha Koperasi Perkobf Perak Berhad (Kopera) membangunkan tapak perkhemahan berkonsepkan ekopelancongan di Tasik Raban, Lenggong.

Pengerusinya, Yaakub Ibrahim berkata, Geran Koperasi Perak (GKOP) daripada kerajaan negeri itu merupakan geran pertama yang diterima koperasi itu sejak ditubuhkan kira-kira 15 tahun lalu.

Menurutnya, peruntukan tersebut akan digunakan bagi kerja-kerja asas termasuk pembinaan kemudahan tandas di kawasan tapak perkhemahan seluas kira-kira 0.6 hektar yang terletak berhadapan dengan pemandangan Tasik Raban.

“Kami menyewa tanah ini dan bercadang membangunkan kawasan sebagai campsite yang selesa dan mesra pengunjung.

“Kerja-kerja awal seperti pembersihan kawasan serta penyediaan kabin telah dilaksanakan. Kemudahan asas seperti tandas amat diperlukan untuk membolehkan operasi dimulakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Yaakub berkata, projek tersebut merupakan projek baharu koperasi yang dianggotai kira-kira 100 ahli, majoritinya kontraktor G1 di negeri ini.

Beliau menjelaskan, pembangunan tapak tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan koperasi selain menyasarkan untuk memulakan operasi tapak perkhemahan berkenaan dalam tahun ini.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Kami merancang pembangunan yang lebih menyeluruh termasuk aktiviti rekreasi air, kedai runcit dan makanan serta kemudahan lain, namun kos keseluruhan dianggarkan mencecah sekitar RM600,000.

“geran ini sangat membantu sebagai langkah permulaan untuk kami menggerakkan projek ini,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan tersebut bukan sahaja berpotensi menarik pengunjung, malah mampu merancakkan ekonomi setempat melalui peluang keusahawanan dan pekerjaan kepada komuniti sekitar.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Inisiatif seperti GKOP memberi ruang kepada koperasi untuk bangkit serta meneroka potensi baharu seperti sektor pelancongan ini," katanya.

Kerajaan Perak meneruskan bantuan dana sehingga RM30,000 menerusi GKOP Pulih dan GKOP Urus bagi memperkasa dan memantapkan perniagaan koperasi selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!