Malaysia sasar jadi hab ekosistem wakaf bertaraf dunia lima tahun lagi

Lima wakil pelbagai pihak yang menandatangani MOU sempena Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Lima wakil pelbagai pihak yang menandatangani MOU sempena Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR 2 - Malaysia menyasarkan untuk muncul sebagai hab ekosistem wakaf bertaraf dunia dalam tempoh lima tahun menerusi kerjasama strategik pelbagai agensi yang diperkukuhkan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Global Wakaf Al-Quran (GWAQ), PERKIM, Tulus Digital dan Islamica.

Pengerusi Bersama Global Wakaf Al-Quran, Prof. Datuk Dr. Mazlan Ahmad berkata, kerjasama itu menjadi asas penting dalam memperkukuhkan pembangunan ekosistem wakaf secara menyeluruh, termasuk memperluaskan jaringan kerjasama ke peringkat antarabangsa. 

Menurut beliau, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan wakaf di Malaysia, malah berpotensi meletakkan negara sebagai pusat rujukan ekosistem wakaf dunia. 

 "Majlis pemeteraian MOU hari ini membuktikan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan untuk menjadi pusat ekosistem wakaf dunia melalui kerjasama strategik yang melibatkan pelbagai organisasi dan platform digital," katanya pada majlis pemeteraian MOU sempena Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Datuk Dr. Mohamad Marzuka Mohd. Omar berkata, usaha memperkukuh sektor wakaf akan dipacu menerusi cadangan penubuhan Kementerian Wakaf yang disifatkan sebagai nadi kepada pembangunan ekosistem wakaf negara.

"Insya-Allah bermula tahun ini, Kementerian Wakaf akan diwujudkan. Apabila kita mempunyai nadi pembangunan, langkah seterusnya ialah mewujudkan Bank Wakaf Digital Nasional bagi menjaga kepentingan, kebajikan dan pembangunan rakyat Malaysia," katanya.

 Beliau berkata, selain bank digital di peringkat nasional, pihaknya turut merancang menubuhkan Bank Wakaf Digital International bagi memenuhi tanggungjawab Malaysia membantu pembangunan ummah di seluruh dunia.

 "Kita tidak boleh melepaskan tanggungjawab Malaysia terhadap dunia Islam. Sebab itu kita akan menubuhkan Bank Wakaf Digital International yang akan menjadi platform memperkasakan pembangunan wakaf di peringkat global," ujarnya. 

Menurut beliau, pelaksanaan bank wakaf digital itu akan dimulakan di rantau ASEAN sebelum diperluaskan ke seluruh Asia dan seterusnya ke peringkat dunia dalam tempoh lima tahun. 

"Kita menjangkakan bermula dengan ASEAN, kemudian berkembang ke Asia dan akhirnya ke seluruh dunia. Sasaran kita ialah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekosistem wakaf global," katanya. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibhrahim (kiri) ditunjukkan salah satu bahan pameran di Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibhrahim (kiri) ditunjukkan salah satu bahan pameran di Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026.

Mengulas kerjasama digital yang dimeterai, Mohamad Marzuka berkata, MOU bersama Tulus Digital dan ToyyibPay akan membangunkan sistem pembayaran digital merangkumi transaksi menggunakan mata wang fiat serta token digital bagi memudahkan urusan kutipan dan sumbangan wakaf. 

"Platform ini juga akan menyokong pelaksanaan Global Wakaf Al-Quran supaya semua pihak berkepentingan dapat menyalurkan sumbangan wakaf secara lebih cekap, telus dan mudah," katanya.

Manakala MOU dengan Islamica adalah sebagai rakan media dalam menyalurkan informasi berkaitan ilmu wakaf dan juga meningkatkan sumbangan wakaf Al Quran melalui platform digital ke peringkat  global. 

Majalah Islamica  diterbitkan semula pada tahun ini dan Malaysia dipilih sebagai hub operasi utama.  Sebelum ini Islamica berpusat di Jordan sejak penubuhannya pada 1999.

 Beliau turut memaklumkan bahawa Yayasan Restu kini memiliki pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Madinah yang beroperasi di Putrajaya. 

Katanya, pusat itu telah menghasilkan terjemahan al-Quran dalam 30 bahasa termasuk bahasa Cina, Iban dan Filipina sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai peneraju penyebaran al-Quran berteraskan konsep Rahmatan Lil Alamin. 

Dalam pada itu, Mohamad Marzuka berkata, kerjasama di peringkat ASEAN telah pun bermula termasuk melibatkan Timor Leste, Brunei, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Kemboja. 

"Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita menggalas tanggungjawab membantu negara-negara yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama. Misi kita ialah dakwah dan kebajikan, termasuk menjaga kebajikan anak-anak yatim di seluruh ASEAN," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!