Proses pengundian awal tentera berjalan lancar - Azhan

PORT DICKSON - Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 melibatkan anggota tentera dan pasangan masing-masing berjalan lancar, dengan lebih 60 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka setakat jam 12 tengah hari ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman berkata, beliau telah meninjau proses pengundian awal di Kem Rasah, Seremban dan Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini dan mendapati semuanya berjalan lancar.
"Saya telah meninjau pagi tadi di Kem Rasah dan sekarang ini berada di PUSASDA untuk melihat perjalanan undi awal. Daripada pemerhatian saya, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di PUSASDA di sini pada Selasa.
Beliau berkata, sebanyak 16,884 anggota tentera dan pasangan berdaftar sebagai pengundi awal bagi PRN Negeri Sembilan, dengan 63 peratus daripada jumlah itu telah menunaikan tanggungjawab mengundi setakat ini, manakala selebihnya mengundi secara pos.
Azhan berkata, beliau menjangkakan kadar keluar mengundi dalam kalangan anggota tentera dan pasangan akan melebihi 90 peratus, apabila proses pengundian awal ditutup pada 5 petang ini, selaras dengan sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengundian awal melibatkan secara keseluruhan sebanyak 22,339 pemilih dengan 16,467 orang mengundi secara fizikal hari ini merangkumi 11,293 tentera dan pasangan dan 5,174 polis dan pasangan manakala selebihnya mengundi secara pos.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari mengundi bagi 867,151 pemilih ditetapkan Sabtu ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
