Tiga wanita cedera diserang lelaki bersenjatakan pisau

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian berhampiran Porte de Clich pada Isnin. Foto: Reuters
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian berhampiran Porte de Clich pada Isnin. Foto: Reuters
A
A
A

PARIS - Seorang lelaki menyerang tiga wanita menggunakan pisau berjaya ditumpaskan oleh orang awam dan ditahan seorang anggota polis yang sedang bercuti, lapor Reuters.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nuñez berkata, suspek menyerang mangsa berusia 19, 24 dan 36 tahun itu menggunakan dua bilah pisau dapur berhampiran Porte de Clichy pada Isnin.

Dua daripada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Satu rakaman video yang dikongsi di Snapchat memaparkan seorang lelaki berpakaian sut sukan memegang sebilah pisau besar di setiap tangan cuba menyerang dan menikam seorang wanita.

Mohamed-Ali Bouhadjar, 26, yang merakam kejadian itu berkata, dia bertindak meminta bantuan orang awam selepas melihat suspek menikam belakang seorang wanita.

Menurutnya, seorang daripada orang awam membaling beg pakaian ke arah suspek menyebabkan pisau dipegang lelaki itu terlepas.

Kesempatan itu digunakan untuk menjatuhkan suspek ke tanah sebelum dia bersama beberapa individu lain menahan lelaki berkenaan.

Laurent Nuñez berkata, setakat ini motif serangan masih belum dikenal pasti.

Katanya, polis juga belum dapat mengesahkan identiti suspek kerana kenyataannya ketika ditahan disifatkan sebagai tidak konsisten serta sukar difahami.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pejabat Pendakwa Raya Anti-Keganasan Kebangsaan Perancis memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan sama ada untuk membuka siasatan berhubung insiden tersebut.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!