Gunung Jerai gegar perebutan jersi pendahulu LTdL 2026

LALUAN baharu ke puncak Gunung Jerai dijangka menjadi pencetus persaingan sengit dalam perebutan jersi pendahulu dan Raja Bukit pada Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), sekali gus menjadikan edisi ke-30 perlumbaan itu antara yang paling mencabar dalam sejarah penganjurannya.
Pendakian Kategori 1 di Gunung Jerai yang diperkenalkan seawal Peringkat 2 menawarkan 15 mata kepada pemenang, sebelum pelumba berdepan dua lagi pendakian berstatus Hors di Cameron Highlands dan Genting Highlands yang masing-masing menyediakan 25 mata.
Gabungan tiga penamat di puncak itu dijangka menjadi penentu utama kedudukan keseluruhan pelumba, khususnya dalam perebutan jersi kuning dan Raja Bukit.
Ketua Pegawai Operasi LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, pemilihan Gunung Jerai dibuat bagi meningkatkan tahap persaingan selepas laluan pendakian tahun lalu disifatkan lebih mudah.
"Laluan Peringkat 2 sejauh 145.6 kilometer dari Taiping ke Gunung Jerai setinggi 971 meter dari aras laut itu bermula selepas pelumba melepasi zon pecutan terakhir di Gurun.
"Walaupun baki jarak menuju ke penamat tidaklah terlalu panjang, darjah kecuraman laluan ke puncak Gunung Jerai dijangka menguji daya tahan pelumba dan kumpulan pelumba akan terpisah kepada beberapa kelompok," katanya.
Menurut Emir, LTdL26 bakal menampilkan antara laluan paling sukar kerana melibatkan tiga penamat di puncak termasuk dua pendakian Hors di Cameron Highlands dan Genting Highlands.
Katanya, sukar untuk meramalkan pemenang keseluruhan kerana kedudukan dijangka sentiasa berubah selepas tamat Peringkat 2, 4 dan 5.
"Dengan adanya penamat di tiga puncak pada edisi kali ini, sukar untuk kita meramalkan siapa yang akhirnya akan muncul pemenang individu keseluruhan kerana kedudukan pasti berubah-ubah di akhir Peringkat 2, 4 dan 5," katanya.
Secara keseluruhan, LTdL26 menawarkan dua pendakian Hors, satu pendakian Kategori 1, satu Kategori 2, empat Kategori 3 dan satu Kategori 4 sepanjang laluan sejauh 1,258.5 kilometer.
Menurut Emir, setiap pasukan dijangka meneliti secara terperinci profil laluan terutama Gunung Jerai yang pertama kali diperkenalkan sebelum menyenaraikan pelumba terbaik.
"Saya pasti mereka akan membariskan sekurang-kurangnya tiga pendaki demi memastikan tugas menguasai laluan berbukit dapat dilakukan dengan lebih mudah, di samping mengukuhkan kedudukan berpasukan keseluruhan," katanya.
Sebagai rekod, empat pelumba terbaik di Peringkat 5 Bukit Fraser pada LTdL tahun lalu turut diberi kepercayaan mewakili pasukan masing-masing pada Tour de France musim ini.
LTdL26 anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia akan berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober depan, bermula di Shah Alam sebelum berakhir di Putrajaya dengan jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

