Suami isteri bercerai tinggal bersama

TANGGUNGJAWAB suami menyediakan rumah untuk didiami untuk bekas isteri yang masih dalam tempoh idah. Foto Canva
TANGGUNGJAWAB suami menyediakan rumah untuk didiami untuk bekas isteri yang masih dalam tempoh idah. Foto Canva
A
A
A

Soalan

Bolehkah pasangan suami isteri yang baru bercerai tinggal serumah dalam tempoh idah? Ada yang menyatakan ia dibolehkan dan ada yang memberi amaran kemungkinan akan ditangkap khalwat.

Jawapan

Talak atau perceraian merupakan salah satu kaedah pemisahan hubungan pernikahan antara suami isteri yang disyariatkan Islam.

Apabila seorang wanita diceraikan, maka hendaklah dia beridah selama tiga kali suci daripada haid atau bagi mereka yang tidak mempunyai haid pula selama tiga bulan mengikut kalendar Islam.

Semasa tempoh idah, terdapat hak dan tanggungjawab yang perlu diperhatikan bekas pasangan, antaranya ialah kewajipan suami untuk memberikan nafkah tempat tinggal sehingga tamat tempohnya.

Ia merupakan kewajipan bekas suami untuk memberikan nafkah tempat tinggal kepada bekas isteri semasa tempoh idah sama ada ia diceraikan melalui talak rajie atau talak ba’in dan sama ada dia hamil atau tidak, berdasarkan firman ALLAH SWT dalam ayat keenam surah at-Talak.

Dalam Mazhab Syafie, tidak boleh bagi bekas suami untuk tinggal bersama isteri yang telah diceraikan di dalam rumah yang didiami bekas isteri yang masih dalam idah itu.

Haram bagi suami untuk masuk ke rumah tersebut kerana ia boleh membawa kepada khalwat dan mengganggunya.

Artikel Berkaitan:

Adapun sekiranya terdapat mahram kepada bekas isteri atau suami, sama ada lelaki, wanita atau wanita ajnabi, maka harus bekas suami itu tinggal bersama dan masuk ke rumah berkenaan.

Ini kerana sebab pengharaman sudah tiada, namun hukumnya menjadi makruh kerana ada kemungkinan untuk melihat bekas isteri itu yang sudah haram kerana talak.

Begitu juga harus jika kediaman itu berbilik-bilik atau bertingkat-tingkat yang mana masing-masing tinggal di dalamnya secara berasingan.

Ini kerana isteri yang sudah diceraikan merupakan wanita ajnabi (asing) kepada bekas suami itu dan inilah pendapat muktamad seperti yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi dalam Raudah at-Talibin.

Dalam hal ini, pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mempunyai kuasa untuk menangkap pasangan yang baru bercerai sekiranya didapati mereka berkhalwat kerana perbuatan khalwat antara dua orang ajnabi merupakan kesalahan syariah di Wilayah Persekutuan.

Oleh itu, sebaik-baiknya suami yang keluar dari rumah tersebut sehingga tempoh idah bekas isteri itu tamat. 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!