Bekas adik ipar tahan pusaka
Selepas rujuk perunding harta pusaka, faraid diagihkan mengikut waris layak

“BALIKLAH rumah mak ayah awak dulu.”
Itulah ayat terakhir yang didengar Siti Salmah Sameon, 52, dari mulut suaminya, Faizal Harun, 55, sebelum lafaz cerai talak satu diucapkannya di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah di Bandar Baru Bangi, Selangor kira-kira setahun yang lalu.
Hampir 30 tahun mereka melayari bahtera rumah tangga bersama. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata yang kesemua mereka sudah bekerja dan tinggal bersama pasangan masing-masing.
Namun perselisihan yang berpanjangan akibat kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga akhirnya memisahkan mereka.
Walaupun hati remuk, Siti Salmah reda dan akhirnya dia membuat keputusan untuk menyewa rumah berhampiran tempat kerjanya di Kuala Lumpur. Dia tahu masih boleh berada di rumah suaminya selagi tempoh idah belum berakhir.
“Mungkin ini jalan terbaik. Anak-anak pun sudah bersama pasangan masing-masing. Nak balik kampung pun tak boleh sebab masih bekerja.
“Jadi buat masa sekarang ni, saya menyewa dulu di Kuala Lumpur. Lagipun hanya tinggal beberapa tahun nak pencen,” ceritanya sambil memandang gambar anak-anak sebelum ia disimpan rapi di dalam beg tangan.
Tambahnya, walaupun reda dengan jalan yang dipilih suaminya itu, dia meneruskan hidupnya seperti biasa. Namun dia berasa agak kekok kerana biasanya rutin seharian ditemani suami.
Panggilan mengejut
Ketika kira-kira minggu sebelum tempoh idahnya berakhir, dia mendapat panggilan daripada nombor telefon suaminya itu.

“Saya terkejut kerana selepas bercerai, suami tidak pernah menghubungi dan saya hanya mengetahui khabar berita mengenai suami daripada anak-anak.
“Saya pun tidak mahu mengganggu dia bersama bakal keluarga baharu memandangkan anak-anak beritahu dia sudah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi,” katanya.
Bagaimanapun dia sangat terkejut apabila panggilan tersebut rupa-rupanya memaklumkan suaminya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.
“Saya tidak menyangka itu khabar yang diterima. Saya terus bergegas ke hospital dan tiba di sana, semua anak dan beberapa ahli keluarganya ada bersama jenazah untuk urusan pengebumian.

“Saya hanya mahu menatapnya buat kali terakhir, walaupun sudah bercerai namun dia tetap merupakan sebahagian daripada sejarah hidup kami berdua,” ujarnya.
Pembahagian faraid
Sambungnya, walaupun sudah bercerai, hubungan antara dia dan ibu bapa mentua tetap terjalin walaupun jarang-jarang menelefon untuk bertanya khabar.
“Ayah mentua ada bagitahu saya mempunyai hak dalam harta pusaka arwah suami kerana dia meninggal dunia ketika masih dalam tempoh idah.
“Namun, adik-beradik arwah suami tidak mahu membahagikan kepada saya kerana sudah bercerai dan hanya mahu serahkan ia kepada anak-anak saya sahaja,” katanya.
Ujarnya, dia pun tidak mahu mengambil harta pusaka arwah suami, namun ayah mentua beritahu ia merupakan hak seorang isteri.
“Antara harta suami termasuklah dua buah rumah, duit simpanan bank, tanah pemberian datuk dan sebuah rumah kedai serta beberapa buah kereta.

“Saya memberitahu ayah mentua, segala urusan faraid ini saya serahkan kepadanya dan tidak akan mempertikaikannya,” katanya.
Beberapa bulan berselang, dia dihubungi seorang perunding harta pusaka dan diminta untuk hadir dalam perbincangan pembahagian harta pusaka.
“Pada awalnya saya tidak mahu hadir namun setelah dipujuk mentua, akhirnya saya bersetuju.
“Perunding harta pusaka memberitahu bahawa adik-beradik suami tiada hak untuk menahan harta dan mereka juga tiada hak dalam pembahagian tersebut.
“Hanya anak-anak, isteri dan ibu bapa arwah yang berhak dalam harta pusaka itu. Walaupun isteri sudah diceraikan, namun dia masih dalam idah dan hubungan belum putus sepenuhnya, menurut perunding,” jelasnya.
Siti Salmah bersyukur proses pembahagian faraid berjalan dengan lancar walaupun dinafikan hak pada awalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

