Pasaran karbon Di Sarawak lindungi hutan, komuniti tempatan: Arthur

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa memastikan pembangunan pasaran karbon negara di Sarawak seiring pemeliharaan hutan serta perlindungan hak masyarakat setempat, khususnya penduduk asal dan komuniti di kawasan pedalaman.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pendekatan itu penting memandangkan Sarawak adalah antara wilayah diliputi hutan luas dengan kekayaan biodiversiti sangat tinggi dan sehingga kini, litupannya dianggarkan sekitar 61.52 peratus daripada keluasan negeri.
Katanya, kekayaan sumber asli ini bukan sahaja penting untuk negara mengekalkan fungsi ekologi dan kestabilan iklim, malah menyokong kesejahteraan masyarakat melalui pembangunan ekonomi hijau.
“Komitmen membangunkan pasaran karbon negara seiring pemeliharaan hutan serta perlindungan hak masyarakat setempat ini, dilaksanakan melalui kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Senator Tuan Abun Sui Anyit mengenai langkah NRES melindungi kawasan hutan di Sarawak, selain usaha memastikan penduduk menikmati hasil di sebalik perdagangan kredit karbon negara.
Arthur berkata, antara langkah utama NRES berhubung komitmen itu ialah pelaksanaan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) yang bertujuan memastikan hutan diurus secara mampan.
Menurutnya, bagi tujuan sama juga, Dasar Perhutanan Malaysia dan Pelan Strategik Perhutanan Sosial 2021–2025 menekankan kepada penglibatan aktif komuniti dalam pengurusan sumber hutan melalui program ekopelancongan, perhutanan tani dan penghasilan hasil hutan bukan kayu.
“Pendekatan ini bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan komuniti, malah memperkukuh peranan masyarakat sebagai rakan strategik dalam usaha pemuliharaan hutan, selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030.
“Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi menyokong usaha konservasi biodiversiti kerajaan negeri yang menyaksikan Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM22.04 juta tahun ini,” katanya.
Selain itu, Arthur berkata, NRES sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU RUPIN) untuk memperuntukkan mekanisme kawal selia bagi memastikan urus niaga karbon dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
Jelasnya, hasil perdagangan kredit karbon akan disalurkan ke Kumpulan Wang Perubahan Iklim yang ditubuhkan di bawah undang-undang berkenaan, bagi membiayai pelbagai inisiatif berkaitan perubahan iklim termasuk memperkasa komuniti rentan masyarakat tempatan.
Menjawab soalan tambahan mengenai manfaat projek kredit karbon kepada komuniti orang asal dan masyarakat pribumi, beliau berkata, kementeriannya sedang membangunkan mekanisme kewangan inovatif di bawah strategi REDD+ Kebangsaan, iaitu kerangka kewangan REDD+ yang merangkumi dua instrumen utama, Forest Conservation Certificate (FCC) dan Forest Carbon Offset (FCO).
“Kedua-dua instrumen itu dibangunkan berasaskan Cancun Safeguards yang memberi penekanan kepada perlindungan sosial, alam sekitar dan tadbir urus,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
