Sepang tuan rumah F1, kos ditanggung Bahrain

Litar Antarabangsa Sepang.
Litar Antarabangsa Sepang.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Malaysia secara rasmi diumumkan sebagai tuan rumah Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini.

Pengumuman itu dibuat Formula Satu (F1) menerusi laman web rasminya pada Ahad dengan perlumbaan melibatkan Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura. 

Perjanjian dicapai antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Kerajaan Bahrain dan Malaysia membolehkan Grand Prix diteruskan dengan baki jadual perlumbaan musim 2026 kekal tidak berubah.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen sepenuhnya kepulangan F1 ke SIC selepas mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefani Domenicali. 

ARTIKEL BERKAITAN: KBS teliti kemungkinan SIC anjur semula F1

Beliau menzahirkan penghargaan dan keyakinan yang diberikan kepada Malaysia untuk memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran F1 tahun ini.

"Kerjasama ini bukan sekadar penganjuran sebuah acara sukan bertaraf dunia, ia mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama dan hubungan kerjasama yang erat antara Malaysia dan Kerajaan Bahrain. 

"Di samping itu, ia membuktikan kesediaan serta keupayaan Malaysia untuk menganjurkan acara antarabangsa berskala besar," katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Anwar berkata, Malaysia kini bersedia membuka tirai kepada kehadiran semula Formula 1, FIA, pasukan-pasukan perlumbaan dan jutaan peminat sukan permotoran dari seluruh dunia ke Sepang.

Artikel Berkaitan:

"Kami menantikan peluang untuk mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi dan layanan mesra rakyat Malaysia, sambil terus memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara menerusi acara istimewa ini," katanya lagi. 

Anwar mengadakan pertemuan dengan Putera Salman dan Stefani Domenicali sebelum mengesahkan Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain berlangsung di SIC, Oktober ini. Foto: FB Anwar Ibrahim
Anwar mengadakan pertemuan dengan Putera Salman dan Stefani Domenicali sebelum mengesahkan Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain berlangsung di SIC, Oktober ini. Foto: FB Anwar Ibrahim

Terdahulu, media melaporkan Bahrain masih bersedia menanggung kos penganjuran, perlumbaan itu akan dipersembahkan sebagai Grand Prix Bahrain yang dianjurkan di Malaysia, namun nama rasmi perlumbaan itu masih belum diputuskan.

Grand Prix Bahrain sepatutnya berlangsung pada April lalu, namun ditangguhkan pada Mac bersama Grand Prix Arab Saudi susulan perang di Iran.

Bahrain berharap dapat menjadualkan semula perlumbaan itu pada 4 Oktober iaitu hujung minggu di antara perlumbaan di Azerbaijan dan Singapura, namun peningkatan konflik bulan ini menyebabkan rancangan itu tidak dapat diteruskan.

Perang di Iran turut memaksa F1 menilai semula baki jadual musim ini kerana kalendar 2026 pada asalnya mengandungi 24 perlumbaan, dengan empat daripadanya berlangsung di Asia Barat.

Situasi itu turut memberi kesan kepada penghujung musim.

Selain perlumbaan di Bahrain dan Arab Saudi, musim F1 dijadual berakhir dengan perlumbaan berganda di Qatar dan Abu Dhabi.

Sepang pernah menjadi antara venue perlumbaan yang popular sebelum digugurkan daripada kalendar F1 selepas edisi 2017.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!