Maqis kesan video AI palsu babit bekas Ketua Pengarah

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengesan satu video palsu yang dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) membabitkan bekas Ketua Pengarahnya, Shamsul Akbar Sulaiman.
Maqis dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai penyebaran video berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp sebelum semakan awal mendapati kandungan tersebut telah diubah suai menggunakan teknologi AI.
"Video berkenaan dipercayai digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menakutkan orang ramai supaya membuat pembayaran bagi caj palsu," katanya.
Sehubungan itu, Maqis menegaskan semua pembayaran berkaitan urusan dan prosedur jabatan hanya boleh dilakukan melalui sistem pembayaran rasmi seperti e-Perolehan dan e-Dagang.
"Sebarang arahan atau alasan sama ada daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Maqis atau pihak lain yang meminta pembayaran dibuat ke akaun peribadi dengan alasan sistem rasmi tidak boleh digunakan adalah satu bentuk penipuan.
"Maqis akan membuat pemakluman rasmi sekiranya berlaku sebarang masalah melibatkan sistem pembayaran rasmi jabatan," menurut kenyataan itu.
Maqis turut menegaskan tindakan mengeksploitasi imej pegawai serta nama jabatan bagi tujuan penipuan merupakan satu kesalahan jenayah yang bukan sahaja mengelirukan orang awam, malah menjejaskan reputasi Maqis serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu terhadap sebarang maklumat atau arahan pembayaran yang diterima daripada individu tidak dikenali sebelum melakukan sebarang transaksi," katanya
Menurutnya, semakan boleh dibuat dengan menghubungi terus Maqis menerusi talian rasmi, e-mel atau platform media sosial rasmi jabatan.
"Kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan dipertingkat bagi membendung kegiatan penipuan dalam talian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
