Manifesto sepakat BN-PN wadah kesepakatan menarik untuk Negeri Sembilan

PERSETUJUAN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan melalui satu landasan manifesto menggambarkan kematangan serta landskap politik yang agak 'fluid'. Ianya memberikan satu alternatif yang menarik buat pengundi di Negeri Sembilan.
PN secara terbuka menerima manifesto BN, “Hebatkan Semula Negeri Sembilan”, yang dilancarkan oleh Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebagai manifesto sepakat sebelum melengkapkannya dengan 14 tawaran tambahan.
Ini memperkukuhkan gambaran bahawa persefahaman tersebut dibina atas persamaan dasar, yang berteraskan kelestarian dan bukan semata-mata kepentingan pilihan raya jangka pendek.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menghadiri majlis pelancaran manifesto BN ini menyifatkan tawaran BN sebagai menarik dan berupaya memacu Negeri Sembilan ke arah kejayaan yang dicita-citakan rakyat, khususnya melalui rancangan menjadikan negeri itu sebagai lembah makanan serta usaha menangani isu alam sekitar, pekerjaan dan perumahan.
Kenyataannya bahawa kedua-dua manifesto akan saling melengkapi dari sudut pencapaian memberikan asas politik yang lebih jelas kepada gabungan tersebut. Ini penting kerana persefahaman yang matang membolehkan manifesto induk disokong bersama sementara cadangan tambahan digunakan untuk menutup jurang dasar, memperluas sasaran dan meningkatkan mekanisme pelaksanaan.
Pembentukan kerajaan campuran, penyelarasan dasar sebelum pilihan raya lebih bermakna daripada retorik perpaduan. Ia mengurangkan risiko pertentangan dasar selepas kemenangan, memberikan hala tuju awal kepada pentadbiran dan membolehkan rakyat menilai kerajaan yang bakal dibentuk berdasarkan komitmen bersama.
Manifesto BN menyediakan kerangka induk melalui sembilan teras dan 88 usaha, meliputi ekonomi, kebajikan, pendidikan, pertanian, perumahan, alam sekitar, agama dan adat, sukan serta penyampaian perkhidmatan.
Antara sasaran utamanya dan tawaran yang diketengahkan ialah menarik RM30 bilion pelaburan dalam empat tahun, mewujudkan 50,000 pekerjaan dalam lima tahun, menyediakan 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi di Malaysia Vision Valley serta melatih 20,000 peserta TVET. Ia turut menjanjikan 25,000 unit kediaman, 1,000 lot perumahan kampung dan penubuhan unit pemantauan manifesto.
Kekuatan BN terletak pada kesinambungan perancangan wilayah dan pembinaan infrastruktur. Cadangan menyambung Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2015–2045, Malaysia Vision Valley, jalan lingkaran, jaringan komuter, pelabuhan darat dan koridor perindustrian memberikan kerangka fizikal kepada pertumbuhan.
PN pula bertindak sebagai pelengkap dengan 14 tawaran tambahannya dalam manifesto PN yang dilancarkan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, merangkumi dashboard pelaksanaan manifesto, rumah transit belia, Program Keluarga Mawaddah, Pelan Ekonomi Biru, infrastruktur industri minyak dan gas serta pakej pelaburan dalam mineral kritikal, kenderaan elektrik, semikonduktor, aeroangkasa, logistik dan ekonomi digital.
PN turut mencadangkan penaiktarafan Kolej Yayasan Negeri Sembilan berteraskan TVET, Program Tahfiz TVET, bantuan pensijilan profesional, penubuhan Negeri Sembilan Talent Corporation dan pusat padanan pekerjaan bagi sektor pelaburan serta industri terkini.
Satu lagi petunjuk keseriusan ialah pengakuan PN bahawa kedudukan kewangan negeri memerlukan disiplin fiskal. Tawaran perlu mengambil kira kemampuan sebenar kerajaan, kerjasama strategik sektor swasta, pengoptimuman sumber dan kemampanan kewangan. Hal ini penting kerana manifesto gabungan sering gagal apabila senarai janji bertambah tanpa keutamaan, pengiraan kos dan sumber pembiayaan yang jelas.
Penegasan Ahmad Samsuri memperlihatkan bahawa penyelarasan manifesto ini telah dipersetujui pada peringkat kepimpinan tertinggi kedua-dua gabungan.
Tindakan beliau menyifatkan manifesto tersebut sebagai “janji amanah dan kontrak moral kepada rakyat” pula sepatutnya mampu memberikan keyakinan kepada pengundi bahawa BN–PN serius untuk memastikan setiap tawaran diterjemahkan kepada dasar, peruntukan, garis masa dan petunjuk prestasi utama.
Perincian manifesto yang dikemukakan oleh beliau turut menunjukkan bahawa tawaran tambahan PN mempunyai fungsi strategik untuk mengisi ruang yang belum diberikan penekanan khusus dalam manifesto induk BN.
Pembangunan dashboard pelaksanaan manifesto memperkukuh akauntabiliti; bantuan kepada B40 dan M40 berkomitmen tinggi serta dana kebajikan bukan Islam meluaskan keterangkuman; manakala Rumah Transit Belia dan Program Keluarga Mawaddah menangani tekanan perumahan dan institusi keluarga.
Dalam bidang ekonomi pula, Pelan Ekonomi Biru, sektor mineral kritikal, semikonduktor, aeroangkasa, EV, logistik dan ekonomi digital disokong oleh cadangan Negeri Sembilan Talent Corporation serta pusat padanan pekerjaan. Ini mewujudkan hubungan yang lebih jelas antara pelaburan, pembangunan bakat dan penciptaan pekerjaan tempatan.
Gabungan kedua-dua manifesto mempunyai tiga kekuatan utama. Pertama, ia menggabungkan kesinambungan dengan pembaharuan. BN membawa perancangan wilayah dan pengalaman pentadbiran manakala PN menambah sektor ekonomi masa hadapan serta mekanisme pemantauan.
Kedua, ia menghubungkan pembangunan fizikal dengan pembangunan manusia melalui TVET, pensijilan profesional, padanan pekerjaan dan keusahawanan. Ketiga, pertumbuhan ekonomi diseimbangkan dengan kebajikan melalui bantuan bersasar kepada keluarga B40 dan M40 berpendapatan rendah, perumahan belia, perlindungan pekerja ekonomi gig serta peruntukan kebajikan masyarakat bukan Islam.
Persefahaman ini juga perlu dinilai berdasarkan prestasi PH sepanjang 2018 hingga 2026. Negeri Sembilan bersempadan dengan Selangor, berhampiran Kuala Lumpur, Putrajaya dan KLIA serta mempunyai jaringan lebuh raya dan kereta api yang baik. Namun begitu, pada 2025, ekonominya bernilai RM55.8 bilion dan berkembang hanya 2.6 peratus sementara sektor pembuatannya hanya meningkat 1.9 peratus.
Walau bagaimanapun, manifesto sepakat belum dengan sendirinya membuktikan kemampuan mentadbir. Keseriusan BN–PN mesti diterjemahkan melalui majlis pelaksanaan bersama, pengiraan kos terbuka, pelan 100 hari, pembahagian tanggungjawab yang jelas dan dashboard awam yang mengemas kini kemajuan setiap janji.
Jika mekanisme tersebut diwujudkan, persefahaman BN–PN boleh menjadi model sebuah kerajaan gabungan berasaskan dasar, bukan sekadar aritmetik kerusi. Manifesto BN menyediakan tulang belakang pembangunan manakala tawaran PN menambah kekuatan tadbir urus, bakat dan ekonomi masa hadapan.
Gabungan manifesto sepakat ini berpotensi mengembalikan momentum Negeri Sembilan, dengan syarat slogan “sambung yang tergendala” benar-benar diterjemahkan kepada pelaksanaan yang pantas, telus dan boleh dipertanggungjawabkan.
*Baharom Abdul Hamid ialah Profesor di INCEIF University dan Felo Ekonomi dan Perniagaan di The Future Research
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
